INDEKS JENAYAH SABAH MENINGKAT TAHUN LEPAS

SANDAKAN (21 Januari) : Sabah mencatatkan sedikit peningkatan indeks jenayahnya tahun lepas berbanding 2022, memberi suatu cabaran kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata kerjasama berterusan dengan masyarakat amat penting agar peningkatan kadar jenayah ini dapat dibendung bersama, menambah kebanyakan kes berlaku di luar kawasan bandar Sandakan.

“Mungkin ada juga beberapa kes terpencil seumpama yang dilapor tetapi ia agak sedikit yang berlaku di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Community Policing dan Walkabout di Bandar Sandakan, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama dalam program itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, SAC Mohd Azhar Hamin, Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek dan Timbalannya, Supt Ramasamy A/L Kuppan.

Pada program itu, Jauteh bertemu masyarakat, pengunjung dan peniaga sekitar kawasan pusat membeli-belah di bandar ini, selain mengedarkan risalah berkenaan kesedaran kesalahan jenayah dan yang lain kepada orang ramai.

“Tujuan kita mengadakan walkabout ini adalah sebagai satu kebersamaan dengan masyarakat untuk menjaga ketenteraman awam, di samping berkomunikasi serta

bertanya dengan mereka berkaitan isu atau ketidakselesaan mereka dari sudut penugasan pihak PDRM.

“Setakat ini, di Sandakan, masyarakat yang kita temui berpuas hati dengan keadaan ketenteraman, keselamatan dan juga suasana di daerah Sandakan,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat berpuas hati dengan program Community Policing ini yang juga memberi mereka peluang untuk bertemu dengan kepimpinan tertinggi PDRM.

“Dalam masa yang sama, ini merupakan peluang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan serta pendapat mereka untuk kebaikan bersama,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pengurus kedai yang ditemui pada program itu, Chan Oi Lee, menyambut baik program itu.

Chan gembira dapat bertemu sendiri dengan Pesuruhjaya Polis Sabah yang melawat masyarakat sekitar Sandakan dan bertanya khabar mereka menerusi program berkenaan.

Seorang lagi pengusaha di sini, Thomas Lau, juga menyambut baik program diadakan.

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber : Harian Ekspres (Sabah)

 

Artikel/Berita Terkini

NEGERI SEMBILAN SUDAH BERSEDIA HADAPI KEMARAU

Kerajaan Negeri Sembilan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cuaca panas dan kering yang dijangka melanda berterusan hingga hujung bulan depan …
Maklumat Lanjut

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut