SHAH ALAM, 11 JAN: Individu berumur 18 tahun ke atas terutama ketua isi rumah disaran mendaftar segera dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi mengelak tercicir bantuan atau subsidi bersasar.
Pengarah Jabatan Perangkaan Selangor Hartini Yaacob memaklumkan pengemaskinian maklumat isi rumah itu penting bagi memudahkan penyaluran bantuan yang dirancang kerajaan pada masa akan datang.
Daripada keseluruhan 7.2 penduduk Selangor setakat ini, 4.8 juta daripadanya berumur 18 tahun dan ke atas. Jadi kita galak mereka daftar segera jangan tunggu saat akhir.
Pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dibuat sejak 2 Januari 2024 sehingga 31 Mac 2024 melalui laman sesawang www.padu.gov.my
Proses pendaftaran sangat mudah dan hanya mengambil masa kurang 10 minit selain dilengkapi aspek keselamatan tinggi.
Sistem ini melibatkan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) yang memerlukan anda membuat imbasan muka dan kad pengenalan selain kata laluan satu kali (OTP) bagi pengesahan nombor telefon pengguna untuk keselamatan.
PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang benar-benar layak.