AIR TUJUH EMPANGAN SELANGOR DILEPASKAN, ELAK LIMPAHAN SEMASA MONSUN TIMUR LAUT

SHAH ALAM, 20 Oktober 2023: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil inisiatif mengurangkan kapasiti air di tujuh empangan negeri ini secara berperingkat sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata strategi mengurangkan kapasiti simpanan air empangan itu dimulakan sejak pertengahan Ogos lepas dan setakat ini, inisiatif tersebut memberi dampak positif.

“Pelepasan air empangan bagi ketujuh-tujuh empangan yang dikawal selia oleh LUAS adalah bagi tujuan pengurangan kapasiti simpanan air empangan ke tahap 90 peratus kecuali bagi Empangan Klang Gates ke tahap 85 peratus.

“Tindakan penurunan kapasiti simpanan air empangan ini merupakan inisiatif LUAS untuk menyediakan ruang yang mencukupi bagi kesemua empangan untuk kesiapsiagaan sekiranya menerima kadar intensiti hujan tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, rekod melalui sistem pemantauan kapasiti semasa empangan negeri iaitu Integrated Water Resources Management System (IWRIMS) menunjukkan kapasiti simpanan air Empangan Klang Gates meningkat sebanyak lima peratus dengan jumlah 85 milimeter (mm) susulan hujan lebat pada 18 Oktober 2023.

“Namun tiada sebarang limpahan berlaku dari empangan susulan ruang yang masih cukup untuk menampung kehadiran hujan luar biasa pada masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Izham berkata sebarang pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kesemua empangan yang terlibat.

“Pelepasan air juga dibuat mengikut cuaca dalam tempoh tujuh hari kehadapan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Namun tiada pelepasan akan dibuat sekiranya paras sungai menunjukkan trend meningkat serta hujan yang lebat di kawasan hilir,” katanya.

 

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …