AKTIVITI PERLOMBONGAN HARAM NADIR BUMI DIKESAN DI KUALA PILAH

SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan terdapat satu aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi di atas dua lot tanah milik kerajaan negeri dikesan di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah dekat sini.

Beliau berkata, aktiviti berkenaan ditemukan menerusi aduan yang diterima Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah pada 16 Mei, sebelum siasatan bersepadu dijalankan pihak berkaitan. Berdasarkan pemerhatian secara kasar, kaedah perlombongan yang dijalankan menggunakan proses larut resap in-situ, iaitu kaedah perlombongan yang tidak memerlukan pembukaan kawasan besar untuk kerja-kerja pengorekan dan pengalihan tanah, tetapi banyak menggunakan proses kimia.

Melalui proses tersebut, cecair bahan kimia iaitu amonium sulfat digunakan untuk melarut resap dan mengekstrak nadir bumi dari dalam tanah melalui lubang yang telah digerudi dan disalurkan ke kolam tadahan.

Susulan itu beberapa sampel diambil oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka untuk analisis makmal, selain turut merampas guni-guni yang mengandungi bahan disyaki berkaitan dengan aktiviti perlombongan nadir bumi serta jentera digunakan untuk aktiviti terbabit.

Menurut Aminuddin, kawasan terlibat juga disita, bagi menghalang kerja-kerja perlombongan serta mengelakkan pencerobohan dengan siasatan lanjut sedang dijalankan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, bersama-sama agensi terlibat. Pihaknya juga  mengesyaki bahawa kegiatan perlombongan haram itu dibuat secara skala besar dan tindakan penguatkuasaan bersepadu akan diambil.

Kerajaan negeri memandang serius penemuan ini dan akan memastikan pihak terbabit dikenakan tindakan setimpal berdasarkan undang-undang yang sedia ada. Beliau menggesa semua pihak untuk menyalurkan maklumat dan aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

PAHANG SALUR RM1.2 JUTA UNTUK PROGRAM CELIK AL-QURAN OKU PENGLIHATAN

KUANTAN: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM1.2 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Program Celik al-Quran Braille untuk golongan orang …
Maklumat Lanjut

PENTINGKAH KEAMANAN DAN KEDAMAIAN DALAM SESEBUAH NEGARA?

Saban hari, persoalan tersebut sering bermain di fikiran setiap generasi muda yang baru hendak melangkah ke alam dewasa. Di mana …
Maklumat Lanjut

PENGETAHUAN CPR MASIH RENDAH DIKALANGAN MASYARAKAT KITA

Pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam kalangan masyarakat  di negara ini masih rendah meskipun bilangan kes kematian mengejut dilaporkan …
Maklumat Lanjut