AYER KEROH – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 29 April 2023 (Sabtu) bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang bakal menyajikan lebih 70 jenis juadah hari raya untuk pengunjung.
Menurut Urusetia Induk Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Melaka, sambutan hari raya pada kali ini bertemakan floral (bunga-bungaan) yang menyediakan sebanyak 60 gerai-gerai makanan yang boleh dipilih oleh para pengunjung mengikut selera sendiri. Katanya, gerai berkenaan terdiri dari agensi Kerajaan Negeri sendiri dengan kepelbagaian menu disajikan, antaranya roti canai, ketupat, rendang, mi goreng, kebab dan banyak lagi.
βLebih menarik adalah turut diadakan persembahan oleh artis tanah air seperti Siti Nordiana, Ameng Spring, Amir Ukays dan banyak lagi. Setakat ini sudah 80 peratus persiapan dilaksanakan, cuma tinggal kerja-kerja dekorasi gerai, kita percaya tahun ini akan lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini,β katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.
Kemuncak rumah terbuka itu akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang dijangka hadir pada pukul 10.00 pagi.
Katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut hadir bagi menyambut ketibaan Tun Mohd Ali bersama barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Negeri Melaka.
SUMBER: MELAKA HARI INI