Malaysia menyatakan kegusaran berhubung insiden-insiden pencerobohan oleh nelayan asing, termasuk nelayan Vietnam dalam perairan negara ini. Hal ini berikutan terdapatย tindakan-tindakan agresif dan provokatif nelayan negara itu terhadap penguat kuasa maritim dan juga nelayan-nelayan Malaysia dalam perairan Malaysia. Hal ini juga berkait rapat dengan isu dan aktiviti perikanan Illegal, Unregulated and Unreported Fishing (IUU) dalam perairan Malaysia dan aktiviti sedemikian menjejaskan aktiviti-aktiviti perikanan dan mata pencarian nelayan-nelayan Malaysia.
Selain itu, Malaysia turut dilaporkan mencatatkan kerugian mencecah RM4.25 bilion setiap tahun akibat aktiviti pencerobohan nelayan asing. Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, dianggarkan kerugian bagi hasil laut dalam adalah sebanyak RM1.55 bilion manakala laut pantai Zon C berjumlah RM2.7 bilion. Oleh itu, langkah drastik telah diambil oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) dalam menangani masalah pencerobohan nelayan asing dengan meminda Akta Perikanan 1985 (2019) iaitu menaikkan kadar denda daripada RM1 juta kepada RM6 juta untuk nakhoda manakala RM100,000 dinaikkan kepada RM600,000 untuk setiap kru bagi vesel penangkapan ikan.
Dalam pada itu, Op Naga juga diaktifkan di bawah Jawatankuasa Penguatkuasaan Bersepadu Pasukan Petugas Khas yang diketuai APMM. DoF mencadangkan agar kerajaan menggunakan peruntukan perundangan lain yang boleh disabitkan dan tidak terhad kepada Akta Perikanan lebih menjurus kepada vesel dan aktiviti penangkapan ikan dengan mengambil kira ancaman kedaulatan maritim negara. Tambahan lagi, menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, nelayan asing kini semakin berani dan agresif bagi memastikan mereka tidak ditahan serta hasil tangkapan tidak dirampas. Antara tindakan nelayan asing ialah menyimbah minyak di dek bot untuk membuatkan anggota operasi jatuh, membaling molotov cocktail dan besi yang menyebabkan operasi tangkapan mengambil masa lebih 40 minit serta memiliki kelengkapan alat komunikasi di darat untuk menyalurkan maklumat kepada mereka. Pencerobohan di perairan dan sempadan negara merupakan isu kedaulatan negara yang perlu ditangani dan menjadi tanggungjawab oleh semua pihak seperti yang telah di gariskan dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2025.
Sumber: Sinar Harian