- Tarikh : 29 Oktober 2022 (Sabtu)
- Masa : 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari
- Tempat : Dewan Serbaguna, PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu
- Perasmian : Encik Ahmad Faris Bin Abdul Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu
Program ini merupakan kolaborasi antara Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu dan Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti PPR Padang Hiliran, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama Ibu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan KPDNHEP Negeri Terengganu.
Program dimulakan dengan empat sesi taklimat keselamatan dimulai dengan Slot 1 : ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’ disampaikan oleh Puan Seri Edayu Huzaizie binti Hussin, Penolong Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu. Semasa sesi ini peserta program diperkenalkan dengan Dasar Keselamatan Negara, konsep keselamatan menyeluruh (COMSEC) dan program pengurusan keselamatan berasaskan komuniti (CBSM).
Sesi kedua diteruskan dengan ceramah kesihatan mental bertajuk ‘Ceriakan Hidup Anda’ disampaikan oleh Cik Noor Ajeerah binti Muhammad Sable, Pegawai Psikologi (Kaunseling) Unit NCD JKNT. Pada sesi ini peserta diberikan tips penjagaan kesihatan mental dan peserta telah diminta beberapa aktiviti berkaitan.
Sesi ketiga bertajuk Mahal Ke Barang Lening? Berkisar mengenai topik peningkatan kos sara hidup telah disampaikan oleh Encik Mohamad bin Hashim, Pegawai Penguatkuasa,KPDNHEP Negeri Terengganu. Semasa sesi ini peserta aktif mengemukakan soalan berkaitan inflasi dan bekalan yang terhad.
Sesi terakhir disampaikan oleh ASP Noorshahiram Bt Adam, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bertajuk ‘Waspada Penipuan Siber’. Semasa sesi ini peserta didedahkan dengan taktik-taktik penipuan melalui alam siber dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil daripada menjadi mangsa penipuan. Pengisian lain Program adalah pameran daripada SwCorp dan MKN Terengganu, saringan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daearah Kuala Terengganu selain turut diselang-selikan dengan sesi cabutan bertuah.
Majlis Perasmian Penutup Program diadakan pada jam 11.00 pagi setelah ketibaan Yang Berusaha Encik Ahmad Faris Bin Abdul Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu. Semasa ucapan perasmian penutup Tuan Pegawai Daerah menekankan keperluan menghayati tagline ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’ supaya setiap individu mampu memainkan peranan sebagai satu Keluarga Malaysia. Tuan Pegawai Daerah turut menyampaikan cenderahati kepada para penceramah serta menyampaikan lima cabutan bertuah kepada peserta program.