SUDAH LAPAN KALI PARLIMEN REMBAU BUAT JUALAN MURAH

SEREMBAN – Program Jualan Murah Keluarga Malaysia anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rembau di Pasar Segar Shahril, Taman Bandar Senawang di sini pada Sabtu mendapat sambutan menggalakkan.

Program yang sepatutnya bermula jam 9 pagi, terpaksa diawalkan kerana orang ramai sudah beratur sejak jam 7.30 pagi.Sebanyak 100 kampit beras 10 kilogram dan 100 papan telur yang disediakan habis terjual dalam tempoh dua jam.Turut ditawarkan ialah 2,000 ekor ayam segar dengan harga RM15 untuk dua ekor, minyak masak paket, tepung gandum dan gula.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, program itu merupakan kali kelapan diadakan di kawasan parlimen berkenaan iaitu 5 di DUN Kota dan 3 di DUN Paroi sejak 11 September lalu.

“Saya dapati ia mendapat sambutan luar biasa. Cuma mungkin ada penambahbaikan perlu dilakukan antaranya kita akan menyediakan lebih banyak stok barang popular seperti beras dan telur kerana ia cepat habis.

“Bagi saya ini satu program yang berjaya di bawah Konsep Keluarga Malaysia dan ia sedikit sebanyak dapat membantu pengguna dalam keadaan kenaikan harga barang global,” katanya kepada media ketika ditemui meninjau program berkenaan.

Sementara itu seorang pesara, Mohd Khairuddin Hanapah, 52, berkata, program terbabit sangat memberi manfaat kepada rakyat dan perlu diperbanyakkan.

“Bila saya terbaca mengenai program ini di Facebook, saya tidak lepaskan peluang untuk datang kerana harga ditawarkan sangat murah berbanding di pasaran.

“Sekampit beras 10 kilogram dijual dengan harga RM20 dan dua ekor ayam dijual RM15. Jika di luar, kita memang tak dapat harga macam ini,” katanya.

Nor Azian Mohd, 43, pula mencadangkan kerajaan supaya mengadakan program itu setiap bulan di lebih banyak kawasan di setiap Dewan Undangan Negeri(DUN).

Katanya, ia sangat membantu meringankan beban rakyat lebih-lebih lagi yang mempunyai ahli keluarga ramai.

Warga Bangladesh, Mohamad Arman, 35, turut tidak melepaskan peluang untuk ke program berkenaan selepas diberitahu majikannya.

“Saya beli ayam dan telur. Nampaknya malam ini saya boleh ‘kenduri’ dengan kawan-kawan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

TAKLIMAT KERJA UKUR POST-MONSOON BAGI PENGUMPULAN DATA HIDOGRAFI DI MUARA SUNGAI GOLOK

Program usahasama Malaysia Thailand. Tarikh : 25/4/2025 Masa : 10.00 pagi Tempat : Imigresen Thailand dan lawatan ke pesisir muara …
Maklumat Lanjut

PEMERIKSAAN ICQS BUKIT BUNGA

Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan telah menjalankan pemeriksaan 32 buah kenderaan tempatan & asing di ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah, …
Maklumat Lanjut

TEKAN PEMATUHAN GARIS PANDUAN DAN ASPEK KESELAMATAN PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI

KUANTAN, 25 APRIL 2024 : Keselamatan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi adalah penting di mana pembinaannya perlu mengikut spesifikasi …
Maklumat Lanjut