MINDEF, MELAKA BEKERJASAMA TANGANI ISU DI KEM TERENDAK

SUNGAI UDANG  – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kerajaan Negeri Melaka akan bekerjasama erat bagi menangani segala permasalahan di Kem Terendak.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pendekatan itu diambil selepas mengadakan pertemuan dari hati ke hati bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, hari ini.

Katanya, antara perkara yang perlu ditangani secara bersama ialah isu tekanan air rendah di kem berkenaan yang sudah berlarutan begitu lama.

“Masalah air di Kem Terendak ini melibatkan kos yang tinggi. Jadi saya percaya kaedah terbaik mengatasi isu ini ialah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dan Kementerian yang terlibat.

“Bagaimanapun, usaha menangani masalah ini perlu dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan dan sudah pasti masalah air, elektrik ini merupakan perkara asas yang akan diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zin; Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan lain-lain kenamaan.

photo1664350783
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyerahkan replika kunci penyerahan rumah kepada anggota ketika mengadakan lawatan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Taming Sari, Sungai Udang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Hishammuddin turut memberi bayangan sebuah Hospital Angkatan Tentera (HAT) baharu akan dibina di Kem Terendak bagi menggantikan hospital lama yang agak daif.

Menurutnya, peruntukan itu telah disediakan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin memaklumkan, MINDEF turut komited menangani isu kos sara hidup membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM.

Katanya, pendekatan luar kotak akan diambil, selain mengadakan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk syarikat swasta.

Sumber : Melaka Hari Ini

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut