KUALA TERENGGANU, 29 OGOS 2022
Pengusaha-pengusaha bot penambang di Kuala Terengganu turut serta dalam mengibarkan Jalur Gemilang pada program Perarakan Jalur Gemilang Bot Penambang Merdeka Terengganu sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2022 di Muara Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Takir pada 26 Ogos 2022 yang lalu. Sebanyak 12 bot penambang yang dihiasi Jalur Gemilang mengambil bahagian dengan menyusuri Sungai Terengganu, melalui Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Syahbandar, Pulau Duyong, Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam, bagi memeriahkan sambutan yang akan disambut pada 31 Ogos 2022 ini.
Sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada kali ini amat ditunggu oleh segenap lapisan masyarakat kerana dalam tempoh pandemik Covid-19 acara seperti ini tidak dibenarkan . Melalu program seperti ini ia akan terus terpahat dalam ingatan orang ramaiย dan akan terus mengekalkan kibaran Jalur Gemilang atas bot yang menjadi ikon pengangkutan air di Terengganu itu.
Pada acara kali ini, bot-bot akan mula berarak dari Jeti Nelayan Seberang Takir menyusuri beberapa kawasan tarikan pelancongan antaranya Jambatan Angkat Terengganu, Pulau Warisan, Pasar Payang, Jambatan Sultan Mahmud, Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Pulau Sekati dan Pulau Duyong. Suasana lebih meriah apabila peserta memakai baju Melayu lengkap bertanjak dan bersampin meniup alat tradisional, tetuang yang diperbuat daripada tanduk kerbau yang menjadi simbolik kegunaan nelayan dahulu kala.