MASJID RAZALEIGH LOKASI MALAYSIA #QURANHOUR DI KELANTAN

 

GUA MUSANG: Masjid Razaleigh Gua Musang yang menyerupai model Masjidil Haram, Makkah terpilih sebagai lokasi berlangsungnya Malaysia #QuranHour bagi negeri Kelantan yang akan diadakan pada 30 Ogos ini.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Datuk Adnan Hashim berkata, program membudayakan al-Quran itu akan berlangsung serentak di seluruh negara dan bagi Kelantan, ia pertama kali diadakan di luar ibu negeri Kota Bharu.
Katanya, penganjuran program oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada tahun ini mendapat penajaan utama rakan sinergi daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang beribu pejabat di Gua Musang.
“Masjid Razaleigh yang baru beroperasi ini amat selesa dan sesuai sebagai lokasi orang ramai menyertai Malaysia #QuranHour di Kelantan pada 30 Ogos ini bersempena Bulan Kebangsaan dengan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
“Lebih 3,000 peserta disasarkan hadir untuk membaca al-Quran, bertadabbur surah Al-Sajdah dan membaca doa Malaysia Teguh Bersama selama sejam bermula 12 tengah hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Adnan berkata, lebih istimewa Malaysia #QuranHour di Kelantan akan menampilkan johan qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang berstatus orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan untuk mengetuai bacaan.
“Beliau akan membaca al-Quran braille bersama seorang lagi kanak-kanak OKU berusia 10 tahun yang pekak dan bisu.
“Bacaan juga akan berlangsung serentak di 10 lokasi terpilih antaranya surau Mydin Mall, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Rumah Ngaji Ala Perupok, Bachok dan Rumah Ngaji Tahsinul Quran Muslimah (TQMAH) di Kampung Sering,” kata beliau.
Menurut Adnan, uniknya Malaysia #QuranHour di Kelantan akan turut diadakan pada sebelah petang bermula jam 2.30 yang akan melibatkan penyertaan khusus pelajar di lebih 10 sekolah menengah di daerah Gua Musang.
“Mereka akan membaca al-Quran, bertadabbur dan berinteraksi secara berkumpulan menerusi 12 orang sukarelawan.
“Mereka terdiri daripada golongan profesional muda seperti doktor, pegawai perubatan dan farmasi yang dilatih sebagai penggerak Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan,” katanya.

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …