KOTA BHARU – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, hari ini memaklumkan Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan Hari Kelepasan Am Negeri Kelantan pada Selasa, 12 Zulhijjah bersamaan 12 Julai 2022 sebagai cuti gantian sempena Hari Raya Aidiladha.
Menerusi kenyataan tersebut, 9 Zulhijjah bersamaan 9 Julai 2022 diwartakan sebagai hari kelepasan am bersempena Hari Wuquf di Padang Arafah sejajar dengan surat pemakluman pihaknya pada 13 Januari lepas.
“Sehubungan itu, memandangkan Hari Wuquf jatuh pada Sabtu, 9 Zulhijjah bersamaan dengan 9 Julai 2022 dan hari kelepasan am Hari Raya Qurban pertama dan kedua masing-masing jatuh pada hari Ahad dan Isnin iaitu 10 dan 11 Julai 2022. Bertepatan dengan pemakluman surat berkenaan, hari Selasa adalah menjadi hari kelepasan am negeri Kelantan sebagai cuti gantian Hari Raya Qurban, hari raya kedua,” catat kenyataan bertarikh 3 Julai itu.