PERBADANAN LABUAN TELITI STATUS PROJEK OUTLET BEBAS CUKAI PREMIUM

WP LABUAN – Perbadanan Labuan (LC) sedang meneliti status dan kemajuan projek Outlet Bebas Cukai Premium bernilai RM75 juta yang telah lama terbengkalai di pulau bebas cukai itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LC Rithuan Ismail berkata pelbagai dokumen berkaitan projek tersebut sedang dikaji sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil.

“Selaku pihak berkuasa tempatan yang memiliki tanah projek, sudah tentu kami akan menegakkan hak kami dan melakukan sesuatu mengenai projek itu.

“Kami tidak akan membisu mengenai status projek memandangkan ia melibatkan kepentingan awam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Projek kerjasama antara LC dan BVA Development Sdn Bhd itu dimulakan pada awal 2018 di kawasan seluas 2.7 hektar (12.5 ekar) berhampiran Kelab Golf Antarabangsa Labuan dan Universiti Malaysia Kampus Sabah namun telah dihentikan selepas beberapa bulan.

Projek tersebut dijadual siap dalam tempoh empat tahun (dari 2018) dan akan menawarkan produk mewah dan berjenama pada kadar hingga 30 peratus lebih murah berbanding outlet premium lain disebabkan status bebas cukainya.

Projek pembangunan bercampur itu dijangka mempunyai lebih 70 penyewa eksklusif yang menawarkan pelbagai barangan bebas cukai daripada produk tembakau hingga wain, minyak wangi, kosmetik dan pakaian berjenama.

Selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Labuan untuk mentransformasikan pulau itu menjadi destinasi pintar dan mampan, outlet premium itu juga akan menyediakan pelbagai kemudahan beli-belah pintar termasuk kemudahan aplikasi mudah alih, sistem perkhidmatan penghantaran pintar dan transit pintar yang semuanya dicipta untuk pengalaman membeli-belah baharu kepada orang ramai.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …