ISTANA NEGARA ZAHIRKAN UCAPAN TAHNIAH KEPADA PEGAWAI WANITA PERTAMA NEGARA YANG BERJAYA TAMATKAN PENGAJIAN DI USNA

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada Pegawai Kadet Kanan (PKK) Janusha a/p Bala Krishnan Muthiah dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjadi pegawai wanita pertama negara yang berjaya menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA).

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini mencipta sejarah sebelum ini apabila dia menjadi wanita Malaysia pertama diterima masuk ke akademi tentera berprestij Amerika Syarikat dalam sejarah kemasukan pelajar negara ini ke sana sejak tahun 1971.

PKK Janusha telah mula menjalani pengajian dan latihan ketenteraan di USNA pada tahun 2018 selama empat tahun bersama 1,085 pelatih dari Amerika Syarikat dan 14 pelatih dari luar Amerika Syarikat.

Kejayaan PKK Janusha menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di salah sebuah pusat latihan tentera terbaik di dunia ini membuktikan kewibawaan dan kemampuan wanita muda Malaysia untuk bersama bersaing di dalam bidang yang lebih dipelopori oleh kaum lelaki.

Lebih bermakna, Majlis Tamat Pengajian yang penuh gemilang telah disempurnakan sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Tentera Laut Amerika bersama Duta serta Penasihat-penasihat Pertahanan dari pelbagai negara.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada beliau dan juga warga TLDM untuk terus bekerja keras dan mencapai kejayaan di masa hadapan di dalam bidang ketenteraan.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada PKK Janusha dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Syabas dan tahniah.

Sumber: Laman FB Istana Negara

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …