MALARIA ZOONOTIK ANCAMAN BAHARU MALAYSIA

Malaysia sedang menghadapi ancaman baharu yang serius dalam jangkitan malaria iaitu peningkatan jangkitan malaria zoonotik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata jangkitan malaria zoonotik di Malaysia telah meningkat dengan drastik daripada 376 kes pada 2008 kepada 3,575 kes pada 2021 dan telah muncul sebagai penyebab utama kematian malaria di Malaysia sejak 2017.

“Selain jangkitan malaria manusia, Malaysia turut menghadapi ancaman baru yang lebih besar iaitu peningkatan jangkitan malaria zoonotik yang disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi. Ia ditularkan dari haiwan (beruk/kera) yang menjadi perumah semula jadi bagi parasit ini kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp.

“Berbeza dengan malaria manusia, penularan jangkitan malaria zoonotik kerap berlaku di luar rumah,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaria Peringkat Kebangsaan hari ini.

Peningkatan kes adalah disebabkan oleh pembukaan tanah yang pesat untuk aktiviti perladangan yang menyebabkan peningkatan pendedahan manusia kepada haiwan perumah semula jadi malaria zoonotik.

“Pada masa ini, rawatan malaria sedia ada berkesan untuk malaria zoonotik. Cabaran Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani jangkitan ini adalah ketiadaan kaedah kawalan vektor yang berkesan bagi membendung penularan di luar rumah.

“Jika seseorang bergejala demam dan mempunyai sejarah masuk ke kawasan berisiko malaria atau baru pulang dari negara endemik malaria perlu segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan. Pekerja yang terbabit dalam sektor perladangan dan perhutanan pula perlu menjalani saringan malaria secara berkala,” katanya.

Sementara itu, Khairy memaklumkan Malaysia telah berjaya mencapai sifar jangkitan tempatan malaria manusia untuk tahun keempat berturut-turut bermula 2018 hingga 2021.

Kejayaan itu, katanya diperoleh hasil keberkesanan inovasi dan strategi pengurusan kes dan kawalan vektor yang dilaksanakan oleh KKM.

“Antara inovasi yang telah dilaksanakan adalah semburan residual racun serangga (IRS), penggunaan kelambu berubat dan penggunaan ubat Artemisinin Combination Therapy (ACT) bagi rawatan malaria. Selain itu, liputan capaian kepada perkhidmatan diagnosis, rawatan dan kawalan vektor di kawasan terpencil telah dipertingkatkan dengan pembinaan pejabat subsektor malaria,” katanya.

Bagaimanapun, Malaysia masih terdedah kepada risiko kemasukan semula jangkitan malaria manusia kerana terdapat kes malaria import dalam kalangan pekerja asing yang baru tiba atau warga Malaysia yang pulang dari negara endemik malaria, iaitu pada 2021, Malaysia melaporkan 111 kes import malaria manusia.

“Bagi menangani ancaman ini, KKM telah menyusun strategi baru seperti saringan malaria di pintu masuk terpilih dan memetakan kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemasukan semula malaria seterusnya melaksanakan intervensi pencegahan termasuk aktiviti kawalan vektor. Di samping itu, KKM juga telah mengenal pasti sektor berisiko seperti perladangan dan perhutanan untuk diberi tumpuan pelaksanaan aktiviti survelan malaria,” katanya.

Hari Malaria Sedunia disambut pada 25 April setiap tahun bagi mengiktiraf usaha global mengawal malaria. Tema sambutan pada 2022 adalah Memanfaatkan Inovasi untuk Mengurangkan Beban Penyakit Malaria dan Menyelamatkan Nyawa.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …