RANTAU PANJANG – Hasrat seorang pemandu dan kelindan lori untuk menikmati upah menghantar barangan seludup sebanyak RM300 terbantut selepas ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di Jalan Kemahang, Tanah Merah di sini, pada Selasa.
Lori jenis Isuzu yang membawa muatan minuman keras, rokok elektronik, barangan runcit dan perkakas dapur itu ditahan pada jam 7 pagi. Ketika ditahan, pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang dibawa. Pemeriksaan di bahagian belakang lori itu telah menjumpai 3,225 botol dan 1,476 tin minuman keras tidak bercukai, rokok elektronik (290 kotak), barangan runcit dan perkakas dapur. Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM531,381.
Siasatan awal mendapati kesemua barangan tersebut dibawa untuk dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur.
Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.