DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 8: KESELAMATAN RAKYAT (Penguatkuasaan Undang-undang)
Dalam serbuan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di sebuah Hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, Pulau Pinang pada 31 Mac 2022, dua (2) wanita warganegara asing berumur antara 27 dan 28 tahun telah berjaya diselamatkan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Menerusi serbuan yang sama dua (2) orang lelaki warga tempatan berusia 29 dan 39 tahun yang dipercayai sebagai penjaga serta agen telah ditahan. Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah dieksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
Kedua-dua mangsa yang diselamatkan bersama suspek yang ditangkap telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk tindakan lanjut. Mahkamah telah membenarkan tahanan reman selama (6) hari ke atas kedua-dua suspek iaitu agen dan penjaga untuk siasatan lanjut.
Kes telah disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana melakukan kesalahan pemerdagangan orang yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan boleh juga didenda.
Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan ke atas orang dewasa atau kanak-kanak adalah satu kesalahan jenayah.
Sumber :
Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang (Laman Facebook PDRM Pulau Pinang)



