
Kestabilan sosiopolitik adalah penting dalam mewujudkan suasana aman dan
harmoni di kalangan rakyat Malaysia. Kerajaan bertanggungjawab untuk menjunjung Raja Perlembagaan, demokrasi berparlimen, keluhuran Perlembagaan kedaulatan undang-undang, sistem pentadbiran Persekutuan, menghormati dan menjamin hak-hak asasi rakyat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, rakyat juga bertanggungjawab untuk menyokong dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memastikan keamanan dan kestabilan negara. Prinsip-prinsip tersebut perlu dihormati dan dipatuhi oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, agama, etnik, asal usul dan status sosial.
Perubahan pemikiran rakyat merupakan suatu perkara yang harus di lihat dari sudut keupayaan Malaysia mengekalkan nilai-nilai asas negara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Gelombang perubahan pemikiran disebabkan globalisasi, penggunaan meluas teknologi dan peranti komunikasi, semakin menyebabkan nilai-nilai global menjadi suatu kebiasaan yang telah dinormalisasikan sebagai budaya global. Ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak pemikiran dan tindak-tanduk rakyat berdasarkan pemikiran dan persepsi global mahupun pengaruh negara asing dalam kehidupan masyarakat. Ini termasuklah dari aspek pembentukan nilai politik dan nilai sosial yang sebelum ini asing dalam suasana di Malaysia, tetapi telah menjadi trend global.