#KL50 : SEJARAH PENUBUHAN DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR

Siri Jubli Emas: Sejarah Penubuhan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merupakan Pihak Berkuasa Tempatan yang menjalankan kerja urus tadbir di Kuala Lumpur, sejarah awalnya bermula dengan tertubuhnya Lembaga Sanitari Kuala Lumpur pada tahun 1890 dan merupakan penguasa tempatan pertama yang telah ditubuhkan di negara ini. Selaras dengan pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, Kuala Lumpur telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran.
Pada tahun 1948, Perseketuan Tanah Melayu telah dibentuk dan Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara telah diberikan status bandar. Sehubungan dengan itu Lembaga Perbandaran Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada 15 Mac 1948.
Pada tahun 1951, Pilihanraya Majlis Kuala Lumpur telah diadakan dan hasil daripada pilihanraya tersebut Majlis Perbandaran Kuala Lumpur telah ditubuhkan.
Pada tahun 1960, satu akta telah diperkenalkan iaitu Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 atau dikenali oleh Akta 190 yang telah memindahkan pentadbiran Kuala Lumpur daripada kerajaan negeri ke kerajaan persekutuan.
Selaras dengan penggubalan akta tersebut, bandar raya Kuala Lumpur akan diuruskan oleh Suruhanjaya Ibu kota di bawah pimpinan Persuruhjaya Ibu Kota Kuala Lumpur. Jawatan ini telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pada tahun 1972 Kuala Lumpur telah dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya dan selaras daripada pengiktirafan ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah ditubuhkan bagi menggantikan Suruhanjaya Ibu Kota.
Jawatan Persuruhjaya Ibu Kota telah ditukarkan kepada jawatan Datuk Bandar. Sejak 1972 sehingga hari ini bandaraya Kuala Lumpur telah ditadbir oleh 13 orang Datuk Bandar.
Sumber : FB Dewan Bandaraya Kuala Lumpur