Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) IPD Dang Wangi telah melaksanakan Ops Khas Bersepadu Pemantauan dan Tindakan Pematuhan SOP PPN bermula 10:00 malam tadi dan berakhir awal pagi ini di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur.
Sejumlah 10 buah premis perniagaan telah dibuat pemeriksaan mengejut melibatkan premis perniagaan restoran, bar, dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Tindakan penguatkuasaan dengan menutup 2 buah premis serta merta (sealed) yang dikendalikan warganegara asing telah dibuat menerusi Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976, manakala 4 notis kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dikeluarkan terhadap pemilik / individu yang melanggar peraturan yang digariskan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
DBKL turut mengeluarkan 17 notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 kepada pemilik premis dan indvidu yang bekerja / mengendalikan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Pihak PDRM turut mengeluarkan pelbagai jenis kompaun menerusi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kepada individu / pemilik premis.
Kerjasama dalam operasi bersepadu ini akan diteruskan dari semasa kesemasa mengikut bidang kuasa, SOP dan peraturan yang tetapkan pihak DBKL, PDRM dan MKN.
SUMBER: FB DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR https://www.facebook.com/dbkl2u