BIMP-EAGA PERLU PERSEKITARAN PELABURAN KONDUSIF PACU INTEGRASI EKONOMI

HADIR: Ewon (lima kanan) bersama delegasi Malaysia ketika menghadiri Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan BIMP-EAGA (CMFLF).

KOTA KINABALU: Integrasi ekonomi dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) perlu disokong persekitaran pelaburan kondusif bagi memperkukuh daya saing rantau itu sebagai hab perdagangan dan pengeluaran serantau.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata negara anggota, negeri, gabenor dan kerajaan tempatan BIMP-EAGA perlu meneroka peluang memanfaatkan kelebihan ekonomi serta rantaian bekalan masing-masing bagi melengkapi kekuatan antara satu sama lain.

Katanya, kerjasama itu penting bagi memastikan rantau berkenaan mampu bersaing di peringkat lebih luas selaras dengan Wawasan BIMP-EAGA 2035.

“Negara anggota, negeri, gabenor dan kerajaan tempatan BIMP-EAGA perlu digalakkan meneroka peluang memanfaatkan kelebihan ekonomi serta rantaian bekalan masing-masing supaya kita dapat saling melengkapi dan berdaya saing sebagai sebuah rantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan BIMP-EAGA (CMFLF) Kali Ke-8 di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, industri halal antara bidang yang mempunyai kelebihan daya saing bersama bagi negara anggota dan berpotensi memperkukuh peranan rantau itu dalam ekonomi halal global.

Menurutnya, Malaysia khususnya Sabah berpeluang menjadi peneraju dalam usaha berkenaan selepas menganjurkan Persidangan Perdagangan, Pelaburan dan Industri Halal BIMP-EAGA pada September lalu yang membawa kepada pengenalan Buku Panduan Perdagangan Halal BIMP-EAGA.

Beliau berkata, Malaysia turut menyokong penubuhan Forum Kerjasama Halal BIMP-EAGA sebagai platform khusus untuk memudah cara kerjasama industri, memperluas akses pasaran serta mempromosikan rantau itu sebagai hab pengeluaran dan perdagangan halal yang berdaya saing serta dipercayai.

Dalam perkembangan lain, Ewon berkata, kerjasama serantau turut perlu memberi tumpuan kepada keselamatan makanan, daya tahan sektor pertanian serta penerapan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, BIMP-EAGA yang mempunyai gabungan penduduk melebihi 80 juta orang memiliki sumber pertanian, potensi perikanan dan keupayaan pengeluaran makanan yang besar.

“Melalui kerjasama lebih erat, kita bukan sahaja berpeluang memperkukuh daya tahan makanan sendiri, malah meletakkan rantau ini sebagai penyumbang penting kepada rantaian bekalan makanan ASEAN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap cadangan pelan hala tuju daya tahan menerusi Kluster Agribisnes BIMP-EAGA yang merangkumi pengeluaran pertanian, pemprosesan hiliran, pengedaran, akses pasaran serta ketahanan rantaian bekalan.

Ewon berkata, Sabah turut meneroka cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas di Lahad Datu berteraskan Taman Perindustrian Minyak dan Gas (POIC) Lahad Datu sedia ada.

Menurutnya, zon berkenaan dirancang menjadi pemangkin menarik pelaburan berorientasikan eksport, mempercepat aktiviti pembuatan hiliran serta memperkukuh logistik dan kemudahan perdagangan.

Selain itu, katanya, Sabah sedang menggerakkan pembangunan tiga taman perindustrian baharu iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, Taman Perindustrian Kota Belud dan Taman Perindustrian Beaufort.

“Usaha ini mencerminkan komitmen Sabah untuk bergerak melangkaui aktiviti ekonomi tradisional ke arah pembangunan industri bernilai tinggi, selain memperkukuh kerjasama serantau yang mampu menjana manfaat ekonomi bersama.

“Kami percaya daya saing masa depan BIMP-EAGA semakin bergantung kepada keupayaan menghubungkan industri, melengkapi kekuatan masing-masing serta membina rangkaian pengeluaran dan perdagangan lebih bersepadu,” katanya.

Ewon turut diiringi pegawai kanan daripada Kementerian Ekonomi Persekutuan, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah serta Perbadanan Labuan pada forum berkenaan.

Indonesia akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran CMFLF seterusnya di Kalimantan Selatan.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

SENI DAN TEKNOLOGI PERLU DIBANGUNKAN SECARA SEIMBANG: HAJIJI

CENDERAMATA: Isnin menerima cenderamata daripada penganjur selepas mewakili Hajiji merasmikan PASTIK 2026 di Dewan Resital UMS. KOTA KINABALU: Kemajuan teknologi …

BIMP-EAGA PERLU PERSEKITARAN PELABURAN KONDUSIF PACU INTEGRASI EKONOMI

HADIR: Ewon (lima kanan) bersama delegasi Malaysia ketika menghadiri Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan BIMP-EAGA (CMFLF). KOTA KINABALU: …

POLIS TAHAN DUA LELAKI SUSPEK BUNUH PEMUDA DI PUTATAN

TAHAN: Suspek ditahan dalam tempoh kurang enam jam selepas disyaki terbabit dalam kes bunuh mangsa. PENAMPANG: Dua lelaki tempatan ditahan …