Pra-diabetes merupakan satu keadaan kesihatan apabila paras gula dalam darah lebih tinggi daripada paras normal, tetapi masih belum mencapai tahap untuk dikategorikan sebagai diabetes mellitus (kencing manis). Keadaan ini merupakan isyarat awal bahawa seseorang individu berisiko tinggi untuk menghidap diabetes jenis 2 sekiranya tiada langkah pencegahan diambil.
Apa yang membimbangkan, pra-diabetes sering berlaku tanpa menunjukkan sebarang gejala yang ketara. Ramai individu tidak menyedari bahawa mereka mempunyai masalah ini sehinggalah menjalani pemeriksaan kesihatan atau ujian saringan gula dalam darah.
Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami pra-diabetes, antaranya :
- Berat badan berlebihan/Obesiti
Individu yang mempunyai berat badan berlebihan, khususnya pengumpulan lemak di bahagian abdomen (perut), mempunyai risiko lebih tinggi mengalami rintangan insulin. Keadaan ini menyebabkan tubuh kurang berkesan menggunakan insulin untuk mengawal paras gula dalam darah.
- Kurang melakukan aktiviti fizikal
Apabila kurang melakukan aktiviti fizikal, ia boleh meningkatkan risiko pra-diabetes. Aktiviti fizikal membantu otot menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga dan meningkatkan kepekaan tubuh terhadap insulin.
- Sejarah keluarga menghidap diabetes
Individu yang mempunyai ibu bapa atau adik-beradik dengan sejarah diabetes jenis 2 berisiko lebih tinggi mengalami pra-diabetes. Faktor genetik dan persekitaran keluarga boleh mempengaruhi risiko seseorang mendapat penyakit ini.
- Faktor usia
Risiko Pra-diabetes meningkat apabila seseorang semakin berusia, terutamanya selepas umur 35 hingga 45 tahun. Walaubagaimanapun, golongan lebih muda juga tidak terkecuali khususnya mereka yang mempunyai faktor risiko lain.
- Sejarah diabetes semasa kehamilan
Wanita yang pernah mengalami diabetes gestasi (kencing manis semasa mengandung) mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami pra-diabetes dan diabetes jenis 2 pada masa hadapan.
Pra-diabetes bukanlah satu keadaan yang boleh dipandang ringan. Walaupun belum dikategorikan sebagai diabetes, ia merupakan amaran awal bahawa seseorang individu perlu mengambil tindakan untuk menjaga kesihatan diri.
Jangan tunggu sehingga mengalami gejala atau disahkan menghidap diabetes untuk mula berubah. Kenali faktor risiko, lakukan pemeriksaan kesihatan dan amalkan gaya hidup sihat mulai hari ini.
Sumber : Instagram Kementerian Kesihatan Malaysia



