KAKI DAH LUKA TAPI TAK RASA SAKIT

Pakcik Rahim keluar sidai kain di belakang rumah. Kaki ayam, macam biasa. “Dalam kawasan rumah je, buat apa pakai selipar.” Ada serpihan kaca kecil dalam rumput. Dia pijak. Tapi dia tak rasa apa-apa. Tak sakit langsung. Tiga minggu kemudian, anak perempuannya perasan satu bau pelik bila ayah buka stokin selepas Subuh. Tapak kaki dah merah, bengkak, panas. Luka kecil yang tak pernah dia rasa tu dah jadi lubang bernanah. Doktor tanya, “Pakcik ada kencing manis?” Ada. Dah 12 tahun.

Kisah Pakcik Rahim ialah kisah gabungan. Tapi ia gambaran sebenar apa yang boleh berlaku bila kencing manis mula menyerang kaki. Rupa-rupanya, bahaya paling besar bagi pesakit kencing manis bukan luka yang sakit. Tapi luka yang tak sakit.

Gula darah yang tinggi bertahun-tahun merosakkan saraf, terutamanya di kaki. Bayangkan wayar loceng pintu yang dah putus. Orang dah ketuk pintu, tapi loceng tak berbunyi. Kaki dah luka, tapi otak tak dapat isyarat. Pada masa yang sama, pengaliran darah ke kaki pun berkurang. Luka jadi lambat sembuh dan kuman mudah masuk. Pakar menjelaskan, inilah laluan yang boleh berakhir dengan jangkitan teruk, gangren dan potong kaki.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati 15.6 peratus orang dewasa Malaysia menghidap diabetes. Dan 5.9 peratus lagi tak tahu pun mereka ada diabetes.Maknanya, ramai yang tak tahu kaki mereka sedang berisiko.

Apa yang boleh dibuat mulai malam ni? Periksa kaki setiap hari, termasuk tapak dan celah jari. Kalau susah tunduk, guna cermin atau minta anak tolong tengokkan. Jangan berkaki ayam, walaupun dalam rumah. Pakai selipar lembut.

Uji suhu air mandi dengan siku dulu, bukan dengan kaki. Tukar stokin setiap hari, dan goncang kasut sebelum sarung. Kawal gula darah, dan berhenti merokok. Kalau nampak luka, lepuh, kulit bertukar warna atau bengkak, jangan tunggu sakit. Terus ke klinik. Pakcik Rahim sekarang pakai selipar ke mana-mana, walaupun ke dapur. Kata dia, “Kaki ni dah tak pandai mengadu. Jadi mata kena tolong tengokkan.”

Sumber: Publichealthmalaysia

 

Artikel/Berita Terkini

TULANG IKAN TERSANGKUT, JANGAN TELAN NASI SEKEPAL

Nasihat turun-temurun bila tulang ikan tersangkut di tekak: telan nasi sekepal besar, jangan kunyah.Kalau tak jalan, minum cuka. Kalau masih …

KAKI DAH LUKA TAPI TAK RASA SAKIT

Pakcik Rahim keluar sidai kain di belakang rumah. Kaki ayam, macam biasa. “Dalam kawasan rumah je, buat apa pakai selipar.” …

RUMAH PANAS WAKTU SIANG: BUKA TINGKAP LUAS-LUAS, ATAU TUTUP?

Jawapan ringkas: siang, tutup tingkap dan langsir yang kena matahari. Malam dan awal pagi, baru buka semua. Ramai buat terbalik …