NADI: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika hadir pada majlis perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Inanam Sentral hari ini. – fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Pelancaran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Inanam Sentral di sini, melengkapkan keseluruhan sebanyak 132 NADI di Sabah, termasuk 14 NADI baharu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika merasmikan pelancaran NADI Inanam Sentral hari ini berkata, pusat berkenaan juga menjadikan jumlah rangkaian NADI di seluruh negara sebanyak 1,099 pusat.
Menurutnya, pencapaian itu merupakan satu langkah penting dalam memastikan lebih ramai rakyat, khususnya masyarakat luar bandar, dapat mengakses peluang pembelajaran, pembangunan kemahiran, pekerjaan dan ekonomi digital tanpa perlu meninggalkan komuniti mereka.
Katanya, antara inisiatif yang diberi tumpuan ialah program 1 NADI 1 Prompt Engineer yang disertai oleh seramai 1,247 peserta di seluruh negara, termasuk 509 penyertaan di Sabah setakat ini.
“Program ini memberi peluang kepada komuniti untuk memahami dan menggunakan kecerdasan buatan (AI) secara praktikal, di samping membangunkan kemahiran yang semakin diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa kini.
“Kejayaan ini turut mencerminkan evolusi NADI daripada pusat akses digital kepada hab pembangunan bakat dan kemahiran masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, pendedahan kepada kemahiran ini turut membuka laluan kepada pensijilan, pekerjaan bernilai tinggi dan peluang bekerja dari jarak jauh, khususnya bagi masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, usaha itu berpotensi melahirkan lebih ramai pekerja berpengetahuan (knowledge workers) yang mampu membina kerjaya tanpa perlu berhijrah ke bandar.
Di samping itu katanya, mereka juga mampu menjana pendapatan dan menyumbang kepada pembangunan komuniti masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis pengiktirafan Digital Transformation Centres (DTC) oleh International Telecommunication Union (ITU) di Pulau Pinang menegaskan, agar tiada rakyat tercicir dalam era digital.
Keberkesanan pendekatan ini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes, termasuk kejayaan inisiatif keterangkuman digital di Pulau Banggi, Sabah.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, serta wakil agensi dan komuniti setempat.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



