Perlakuan jenayah melibatkan Orang Kelainan Upaya (OKU) mental semakin mendapat perhatian di Malaysia kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan masyarakat, malah menimbulkan persoalan keadilan, kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
OKU mental merujuk kepada individu yang mengalami gangguan kesihatan mental seperti skizofrenia, kemurungan teruk dan gangguan bipolar sehingga menjejaskan keupayaan berfikir secara waras.
Dapatan tahun terdahulu di peringkat nasional, sehingga November 2025, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 809,243 OKU berdaftar di seluruh negara, dengan 62,378 orang adalah kategori mental. Angka ini menunjukkan komuniti ini bukan minoriti kecil, sebaliknya memerlukan sistem sokongan yang lebih tersusun.
Dalam konteks OKU mental, satu kes di Marang, Terengganu baru-baru ini menggemparkan masyarakat apabila lelaki OKU mental berusia 42 tahun disyaki membunuh abang kandungnya dan mencederakan adik perempuannya, dipercayai akibat konflik keluarga dan sejarah rawatan psikiatri yang tidak konsisten.
Dari sudut peruntukan undang-undang, Seksyen 84 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa seseorang tidak bertanggungjawab atas jenayah jika semasa kejadian dia tidak memahami sifat perbuatannya akibat ketidakwarasan fikiran. Mahkamah lazimnya akan merujuk tertuduh kepada pakar psikiatri di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, dan jika disahkan tidak siuman, tertuduh akan ditempatkan di hospital psikiatri seperti Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk rawatan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001, bukan dihukum penjara. Pendekatan ini lebih menekankan pemulihan berbanding penghukuman.
Oleh itu, pencegahan perlakuan jenayah perlu bermula dari keluarga dan komuniti. Penjaga perlu memastikan OKU mental menerima rawatan susulan, mengambil ubat secara teratur dan tidak dibiarkan dalam situasi tertekan serta luar kawalan.
Kerajaan melalui JKM, Kementerian Kesihatan Malaysia dan PDRM perlu memperkukuh pendaftaran OKU, memperluas perkhidmatan kesihatan mental komuniti, serta mewujudkan pasukan intervensi krisis di peringkat daerah.
Pendidikan awam juga penting bagi menghapuskan stigma, kerana stigma menyebabkan keluarga menyembunyikan pesakit sehingga risiko menjadi tidak terkawal.
Kesimpulannya, menangani jenayah melibatkan OKU mental memerlukan keseimbangan antara keselamatan awam dan hak kemanusiaan.
Melalui rawatan berterusan, sokongan keluarga, penguatkuasaan undang-undang yang berperikemanusiaan dan kesedaran masyarakat, Malaysia khususnya Terengganu mampu mencegah tragedi berulang tanpa menafikan maruah golongan OKU mental.
SUMBER :
- Jabatan Kebajikan Masyarakat (2025). _Statistik Bilangan OKU (Aktif) Mengikut Negeri dan Kategori Sehingga 30 November 2025._ – 809,243 OKU berdaftar, 62,378 kategori mental.
- Astro Awani (2026). _Suspek OKU Mental Bunuh Abang Direman Tujuh Hari – Marang, Terengganu._ – Kes lelaki OKU mental 42 tahun disyaki bunuh abang kandung, disiasat Seksyen 302.3. Bernama (2024).



