RAMPAS: Bekalan dadah yang dirampas semasa penahanan suspek.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis dalam Op Gempur Khas JSJN di sebuah hotel di Putatan, kira-kira jam 10.30 malam, 6 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang menemukan sembilan paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 52.09 gram, dengan anggaran nilai RM6,000.
“Polis turut menyita beberapa barangan dan wang tunai bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif methamphetamine dan amphetamine.
“Suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.
Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



