SABAH TIDAK TERGESA-GESA DALAM PERDAGANGAN KREDIT KARBON

GIMIK: Masidi menyempurnakan gimik perasmian Sabah Carbon Market Forum di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan tergesa-gesa membenarkan projek karbon yang belum melalui penelitian sewajarnya untuk memasuki pasaran atau diperdagangkan secara spekulatif, meskipun potensi pasaran karbon negeri itu dilihat amat besar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata pendekatan berhati-hati penting bagi melindungi reputasi dan jenama Sabah serta memastikan kredit karbon yang dihasilkan mempunyai integriti alam sekitar, sosial, kewangan dan tadbir urus yang tinggi.

“Kita akan melindungi reputasi dan jenama Sabah melalui disiplin kawal selia yang kukuh.

“Projek yang dirangka dengan lemah, tuntutan iklim yang dibesar-besarkan, sumber yang dinilai terlalu rendah serta peminggiran komuniti pribumi akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kredit karbon Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, pada Forum Pasaran Karbon Sabah: Membuka Peluang Pasaran Karbon untuk Sabah di Hotel Hilton, di sini hari ini.

Hajiji berkata, Sabah perlu menegakkan piawaian tertinggi dalam pembangunan pasaran karbon kerana pembeli kredit karbon pada masa hadapan akan menuntut ketelusan serta bukti kukuh berkaitan integriti sesuatu projek.

Katanya, kerajaan negeri sudah mewujudkan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 bagi mengiktiraf secara sah pemilikan hak karbon oleh Kerajaan Negeri, selain menetapkan peraturan berkaitan kelulusan projek dan perdagangan kredit karbon.

“Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCCAC) akan menyelia dasar iklim negeri, menyediakan belanjawan karbon negeri untuk kelulusan kementerian dan pewartaan serta menyelaras usaha antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah pula akan menyediakan sokongan teknikal dan operasi kepada SCCAC.

“Secara keseluruhannya, rangka kerja ini menyediakan kepada pelabur satu pintu masuk kawal selia tempatan yang telus bagi kelulusan projek dan pensijilan hak karbon,” katanya.

Hajiji berkata Sabah sudah mempunyai inisiatif kredit karbon berasaskan alam semula jadi yang disahkan menerusi Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut, membabitkan kira-kira 83,381 hektar hutan tanah rendah yang kaya dengan biodiversiti.

Menurutnya, projek itu dijangka menghasilkan pengurangan pelepasan kira-kira 800,000 tan karbon dioksida (CO2), sekali gus menjadi antara penanda aras bagi inisiatif karbon pada masa hadapan.

Katanya, projek berkenaan juga dinilai sebagai antara yang terbaik dalam kelasnya oleh BeZero Carbon, agensi penarafan kredit karbon global.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sedang membangunkan portfolio aset karbon yang dipelbagaikan merentasi beberapa sektor ekonomi utama termasuk Ekonomi Biru, pertanian, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau serta pemerangkapan dan penyimpanan karbon.

Bagi sektor Ekonomi Biru, katanya, Sabah mempunyai lebih 340,000 hektar hutan bakau yang merupakan kawasan bakau berterusan terbesar di Malaysia.

“Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi biru menerusi bioteknologi marin, akuakultur mampan dan pelancongan berasaskan ekosistem marin,” katanya.

Bagi sektor pertanian pula, Hajiji berkata industri kelapa sawit Sabah yang meliputi hampir 1.5 juta hektar menawarkan peluang besar bagi pemerangkapan metana dan pelaksanaan inisiatif mitigasi iklim lain menggunakan sisa pertanian.

Sementara itu, dalam sektor tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, katanya, kerajaan negeri akan terus memperluaskan penggunaan tenaga solar, hidro, biojisim dan biogas berdasarkan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.

“Langkah itu bertujuan menyediakan bekalan tenaga yang lebih dipercayai, mudah diakses dan berpatutan, selain meningkatkan bahagian tenaga elektrik boleh baharu menjelang 2030,” katanya.

Hajiji turut melihat potensi besar dalam sektor Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS), khususnya menerusi lembangan geologi luar pesisir Sabah serta kawasan maritim negeri.

Katanya, potensi penyimpanan karbon secara geologi itu mampu meletakkan Sabah sebagai hab penyimpanan industri penting di peringkat nasional bagi menyediakan perkhidmatan kepada pasaran serantau.

Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah sudah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), sekali gus menyumbang kepada komitmen Malaysia terhadap pemeliharaan biodiversiti dan sasaran pemuliharaan global 2030 di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal.

Beliau berkata litupan hutan Sabah yang luas turut menyumbang kepada kedudukan negeri sebagai penyerap bersih karbon utama Malaysia berdasarkan data inventori gas rumah hijau.

“Litupan hutan kita yang luas memperkukuh kapasiti penyerapan karbon keseluruhan Malaysia pada kadar kira-kira 36 peratus.

“Menerusi pengurusan hutan yang inklusif dan diwujudkan melalui kerjasama dengan komuniti tempatan, kita berusaha mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

“Identiti dan masa depan Sabah berakar umbi dalam warisan semula jadi kita,” katanya.

Beliau berkata, di bawah hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri mahu bergerak ke arah pemuliharaan yang mempunyai nilai dengan menjadikan perlindungan aset semula jadi sebagai peluang ekonomi yang bertanggungjawab.

“Tugas kita sekarang ialah pelaksanaan, iaitu membangunkan projek yang berwibawa, mewujudkan permintaan pasaran, mendapatkan pembiayaan dan memastikan usaha pemuliharaan memberikan nilai yang berkekalan,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji turut menyeru pemimpin sektor kewangan termasuk CIMB Bank Berhad, Bursa Malaysia, pemain industri dan pelabur untuk bersama-sama membangunkan rangka kerja pembiayaan praktikal bagi merapatkan jurang modal untuk projek karbon berwibawa.

Katanya, kerjasama berkenaan penting bagi menyokong projek yang memenuhi sasaran iklim 2030 di bawah Perjanjian Paris.

“Kami menjemput anda untuk bekerjasama dengan kami, melabur di Sabah, menubuhkan operasi teknikal anda di sini dan membuka nilai sebenar modal semula jadi kita,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

KETUA PENOLONG PENGARAH, PENGARAH EKSEKUTIF DITAHAN KES RASUAH RM18,

MOHD FUAD KOTA KINABALU: Seorang Ketua Penolong Pengarah di sebuah jabatan di Sabah dan Pengarah Eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan …

SABAH TIDAK TERGESA-GESA DALAM PERDAGANGAN KREDIT KARBON

GIMIK: Masidi menyempurnakan gimik perasmian Sabah Carbon Market Forum di sini hari ini. KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan tergesa-gesa …

SYABU RM6,000 DIRAMPAS, LELAKI 45 TAHUN DITAHAN

RAMPAS: Bekalan syabu yang dirampas semasa penahanan suspek. PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan selepas polis menemukan syabu seberat …