Siaran Terkini : 21 September 2026
Gambaran Keseluruhan
Pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan momentum positif pada tahun 2025, dengan bilangan penerima gaji & upah bulanan mencecah kepada 12.01 juta orang (2024: 11.96 juta orang). Warganegara Malaysia merekodkan 10.38 juta orang atau 86.4 peratus daripada jumlah pekerja bergaji sepenuh masa. Pada masa yang sama, purata gaji & upah bulanan warganegara meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 berbanding RM3,652 pada tahun 2024. Penengah gaji & upah bulanan turut meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 (2024: RM2,793).
Sektor Perkhidmatan mewakili 71.5 peratus merupakan penyumbang utama kepada peningkatan bilangan penerima upah, meningkat 1.8 peratus kepada 7.42 juta orang. Sementara itu, Perlombongan dan Pengkuarian kekal sebagai purata gaji & upah bulanan tertinggi, iaitu RM6,175, diikuti oleh Perkhidmatan (RM3,993), Pembuatan (RM3,357), Pembinaan (RM3,188) dan Pertanian (RM2,575).
Pekerja mahir merangkumi 36.6 peratus daripada keseluruhan penerima gaji, mencatatkan purata gaji & upah bulanan paling tinggi iaitu RM5,799 (2024: RM5,582). Ini diikuti oleh kategori separuh mahir yang mencatatkan kadar pertumbuhan 4.2 peratus kepada RM2,714 (2024: RM2,604; 5.2%), dengan sumbangan 55.6 peratus. Begitu juga, kategori berkemahiran rendah naik 2.6 peratus kepada RM2,184 berbanding RM2,128 pada tahun sebelumnya.
Penerima gaji lelaki mencatatkan seramai 6.08 juta orang atau bersamaan dengan 58.6 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji warganegara Malaysia. Purata gaji & upah bulanan lelaki meningkat pada kadar yang lebih tinggi iaitu 4.3 peratus kepada RM3,921 berbanding perempuan, yang bertambah 3.9 peratus kepada RM3,635 (2024: Lelaki: RM3,759; Perempuan: RM3,499).
Selangor mencatatkan peratus sumbangan penerima gaji tertinggi iaitu 25.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja bergaji warganegara, diikuti oleh Johor (13.6%) dan Sarawak (7.6%). Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan purata gaji & upah bulanan tertinggi iaitu RM5,417, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada RM4,955 dan Selangor, RM4,258. Lima negeri menunjukkan nilai purata gaji & upah bulanan melebihi paras nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang (RM3,912) dan Wilayah Persekutuan Labuan (RM3,887).

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia



