Melaka – Ketua Polis Melaka, YDH DCP Datuk Wira Dzulkhairi bin Mukhtar, hari ini menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), YBhg. Dato’ Mohd Shafie bin Harun, di Pejabat Ketua Polis Melaka.
Kunjungan hormat tersebut menjadi platform strategik bagi memperkukuh jalinan kerjasama dan penyelarasan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka dan MCMC, khususnya dalam menangani isu berkaitan keselamatan siber, jenayah komunikasi, penyalahgunaan platform digital serta kandungan media sosial.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan dan ancaman semasa dalam ruang siber, selain membincangkan kepentingan perkongsian maklumat, penyelarasan tindakan serta kerjasama bersepadu bagi menangani kesalahan yang melibatkan teknologi komunikasi dan platform digital.
Kerjasama rentas agensi seumpama ini turut penting dalam memastikan sebarang perkembangan berkaitan ruang siber dapat ditangani secara teratur, berlandaskan peruntukan undang-undang serta mengambil kira aspek keselamatan dan keharmonian masyarakat.
Selesai kunjungan hormat, YDH Ketua Polis Melaka turut mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Pegawai Penguatkuasaan MCMC bagi membincangkan penubuhan Task Force MCMC dan PDRM sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.

YDH Ketua Polis Melaka mempengerusikan mesyuarat
bersama Ketua Pegawai Penguatkuasaan MCMC
Mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka tersebut memberi tumpuan kepada mekanisme kerjasama, perkongsian maklumat, penyelarasan tindakan dan kesiapsiagaan kedua-dua agensi dalam menghadapi perkembangan berkaitan ruang siber sepanjang tempoh PRN Melaka 2026.
Kerjasama strategik antara kedua-dua agensi ini merupakan satu pendekatan bersepadu dalam memantau kandungan di platform media sosial, di samping memastikan segala aktiviti dan perkembangan sepanjang tempoh PRN Melaka berlangsung dalam keadaan lancar, teratur serta mematuhi peraturan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Melalui penyelarasan yang berterusan, PDRM dan MCMC komited untuk memastikan ruang digital terus dimanfaatkan secara bertanggungjawab, di samping menyokong usaha mengekalkan keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat sepanjang proses demokrasi berlangsung.
Turut hadir YDH SAC Datuk Ahmad Jefferi bin Abdullah, Timbalan Ketua Polis Melaka, Ketua-Ketua Jabatan serta Ketua-Ketua Polis Daerah Kontinjen Melaka.
Sumber : Facebook Polis Melaka



