SEMARAK MERDEKA MADANI PERKUKUH PATRIOTISME DAN KESEPADUAN KOMUNITI ORANG ASLI

KUALA KUBU BHARU – Semangat patriotisme dan kesedaran keselamatan dalam kalangan komuniti Orang Asli terus diperkukuh menerusi Program Semarak Merdeka MADANI Tahun 2026 Bersama Komuniti Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu, yang dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan pada 22 Ogos 2026.

Program yang berlangsung di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu itu menghimpunkan kira-kira 300 – 350 orang terdiri daripada komuniti Orang Asli, pemimpin masyarakat, wakil agensi kerajaan serta warga tempatan.

Penganjuran program bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 ini menjadi platform untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara, di samping memperkukuh perpaduan, jati diri serta kesedaran keselamatan dalam kalangan komuniti Orang Asli.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Puan Faizatul Aini binti Mohd Adnan, Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir ialah Yang Berusaha Encik Mohamad Anis bin Othman, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan; Yang Berusaha Cikgu Samsudin bin Ahmad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu; Yang Dihormati Tok Batin Asu Dollah; serta Yang Berusaha Encik A. Mizan bin Silai, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu.

Program tersebut turut menjadi wadah untuk menyantuni komuniti Orang Asli serta meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan mengekalkan keselamatan, perpaduan dan keharmonian negara selaras dengan tema “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama”.

Dalam ucapan perasmiannya, YBrs. Puan Faizatul Aini menegaskan bahawa sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan wadah untuk menghayati erti kemerdekaan serta menghargai keamanan, kestabilan dan perpaduan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Menurut beliau, kekuatan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kemajuan fizikal dan pembangunan ekonomi, malah turut bergantung kepada keutuhan perpaduan masyarakat, semangat saling menghormati dan rasa tanggungjawab bersama terhadap negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan warisan generasi terdahulu yang perlu dipelihara dan dipertahankan, manakala generasi semasa mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan tersebut terus diwariskan kepada generasi akan datang.

Dalam konteks keselamatan negara, beliau menekankan bahawa tanggungjawab menjaga keamanan bukan hanya terletak pada pasukan keselamatan atau agensi kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh rakyat Malaysia termasuk komuniti di peringkat akar umbi.

Pendekatan turun padang seperti yang dilaksanakan melalui program ini turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menyantuni semua lapisan masyarakat secara inklusif, di samping memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti Orang Asli.

Kerjasama erat antara MKN Negeri Selangor, JAKOA Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan serta pihak Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Razak turut membantu memastikan kelancaran pelaksanaan program, khususnya dari aspek penyediaan fasiliti dan penglibatan komuniti setempat.

Selaras dengan tema Sambutan Bulan Kebangsaan 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, program ini turut menekankan bahawa kesejahteraan rakyat perlu didukung oleh keamanan, perpaduan, keharmonian dan rasa tanggungjawab bersama terhadap negara.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program, antaranya sukaneka kanak-kanak dan dewasa, Ceramah Kesedaran Keselamatan, cabutan bertuah serta aktiviti interaktif bersama komuniti. Pengisian tersebut bukan sahaja mewujudkan suasana santai dan meriah, malah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.

Program ini diharap dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama antara MKN Negeri Selangor, JAKOA, pihak sekolah dan komuniti Orang Asli, di samping menyemarakkan semangat Merdeka, patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan masyarakat.

Penganjuran program seumpama ini juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus turun padang, mendekati rakyat dan memperkukuh ketahanan komuniti sebagai sebahagian daripada usaha bersama memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, sejahtera dan berdaulat.

“KESELAMATAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA”

Artikel/Berita Terkini

TINDAKAN SEMASA JEREBU

Ketika jerebu, utamakan kesihatan diri dan keluarga. Hadkan aktiviti di luar rumah, minum air secukupnya, gunakan pelitup muka yang sesuai …

KESIAPSIAGAAN PERTAHANAN DI LAUT UNTUK MEMBANTERAS PENCEROBOHAN PATI: LANGKAH PENAMBAHBAIKAN

Kedaulatan negara tidak berhenti di daratan. Ia turut dipertaruhkan di laut. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara maritim, keselamatan perairan …

PENEMUAN 44 TELUR PENYU BELIMBING DI MARANG CETUS PERHATIAN RAMAI

Penemuan 44 biji telur penyu belimbing di pesisir Pantai Marang pada 1 September lalu mencetuskan perhatian orang ramai selepas spesies …