SHAH ALAM, 3 September 2026 – Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, malah menjadi ruang untuk menghayati kekuatan negara yang terbina daripada kepelbagaian masyarakat, budaya, agama dan latar belakang rakyat.
Dalam konteks Negeri Selangor yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan latar belakang, kepelbagaian tersebut merupakan satu kekuatan yang perlu dipelihara melalui sikap saling menghormati, persefahaman dan semangat kebersamaan.
Kepelbagaian tidak seharusnya dilihat sebagai faktor yang memisahkan masyarakat, sebaliknya menjadi aset penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang matang, inklusif dan berdaya tahan. Hubungan yang baik antara komuniti dapat memperkukuh kepercayaan sosial serta membantu masyarakat menghadapi cabaran dan ancaman yang semakin kompleks.
Dalam era digital, ketahanan sosial turut berdepan cabaran baharu termasuk penyebaran maklumat palsu, provokasi, penipuan dalam talian dan kandungan yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara masyarakat. Justeru, setiap rakyat mempunyai peranan untuk menilai maklumat secara bijak, mengelakkan penyebaran kandungan yang tidak sahih serta mengutamakan keharmonian dalam berkomunikasi.
Semangat Hari Malaysia juga perlu diterjemahkan melalui amalan kehidupan seharian dengan menghormati kepelbagaian, mematuhi undang-undang, menjaga keharmonian masyarakat dan membina hubungan yang positif antara komuniti.
Seiring dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, kesejahteraan yang dinikmati bersama hanya dapat dipertahankan apabila masyarakat terus bersatu, saling menghormati dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap negara.
Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa walaupun berbeza dari segi bangsa, agama, budaya dan latar belakang, kita berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia. Kepelbagaian yang dipelihara dengan sikap saling menghormati bukan kelemahan, tetapi merupakan antara kekuatan utama yang membentuk ketahanan dan kestabilan negara.
~ Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor



