SYOR: Mohd Fuad menyerahkan dokumen syor penambahbaikan tatakelola berkaitan pengurusan projek pembinaan di negeri ini.
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan lapan syor penambahbaikan tatakelola berkaitan pengurusan projek pembinaan di negeri ini.
Syor berkenaan membabitkan fungsi dan bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah, Jabatan Bendahari Negeri Sabah serta Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, penyiasatan tatakelola memberi tumpuan kepada pengurusan Projek Pembinaan Jalan Dua Hala Lintasan Libaran dan Menaiktaraf Jalan Gum-Gum Kecil di Sandakan.
Projek berkenaan adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).
Antara syor dikemukakan ialah mewujudkan garis panduan lengkap dan terperinci berkaitan proses pembayaran kontrak kerja serta pembekalan.
SPRM Sabah turut mencadangkan supaya sistem pengurusan tuntutan sedia ada dinaik taraf dan diintegrasikan bagi memperkemas proses berkaitan.
Selain itu, kod bayaran khusus bagi Akaun Amanah JKR Sabah dicadangkan untuk diwujudkan, selain penubuhan Akaun Amanah di bawah JKR Sabah.
Syor lain membabitkan penambahbaikan garis panduan sedia ada menerusi pewujudan satu Pekeliling Pentadbiran Kontrak.
Penggunaan borang standard JKR Sabah juga dicadangkan supaya ditambah baik bagi memastikan pengurusan kontrak lebih teratur.
SPRM Sabah turut mencadangkan garis panduan khusus berkaitan pengurusan Akaun Amanah diwujudkan.
Selain itu, Pekeliling Penubuhan dan Tanggungjawab Jawatankuasa Contract Coordinator Panel (CCP) turut dicadangkan.
Ia termasuk tatacara pengurusan projek sakit serta pelantikan kontraktor penyiap bagi projek berkenaan.
Kesemua syor itu dibentangkan Mohd Fuad Bee dalam satu pertemuan di bilik mesyuarat Kementerian Kewangan Sabah, di sini.
Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Timbalan Bendahari Negeri Sabah (Pembangunan), Hamdan Hamzani dan Pengarah JKR Sabah, Baharuhom K.K Sogon menyambut baik syor berkenaan.
Mereka bersedia meneliti dan mengambil tindakan susulan termasuk mengemas kini garis panduan serta menaik taraf sistem sedia ada.
Persetujuan itu dizahirkan menerusi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disaksikan Mohd Fuad Bee.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah, Alexander S. Kunghi dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



