OPERASI: Salah sebuah kawasan yang diserbu semasa Op Bersepadu Khazanah atau Op Gali Mega, baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Seramai 12 individu ditahan manakala hasil bumi, kenderaan, jentera berat dan peralatan perlombongan bernilai keseluruhan RM41.23 juta dirampas menerusi Op Bersepadu Khazanah atau Op Gali Mega, baru-baru ini.
Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nor Omar Sappi, berkata operasi yang dijalankan dari 19 hingga 21 Ogos itu membabitkan enam lokasi di empat daerah iaitu Tenom, Sipitang, Papar dan Kota Belud.
“Kesemua yang ditahan adalah warga tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau berusia antara 35 hingga 69 tahun, terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita.
“Operasi dijalankan susulan aduan penduduk mengenai kegiatan pengorekan dan perlombongan hasil bumi yang dipercayai dijalankan tanpa mematuhi peraturan,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa menjalankan risikan selama kira-kira tiga bulan sebelum operasi dilaksanakan.
“Hasil daripada operasi ini kita berjaya menangkap 12 orang warga tempatan berumur 35 hingga 69 tahun dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod lampau.
“Nilai keberhasilan daripada operasi ini berjumlah RM41 juta,” katanya.
Katanya, operasi disertai 97 pegawai dan anggota daripada Briged Sabah PGA, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta pihak berkuasa tempatan.
Nor Omar berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM41,238,325.
“Rampasan membabitkan hasil bumi bernilai lebih RM12.3 juta, kenderaan hampir RM8.9 juta, pelbagai jentera berat bernilai RM16.34 juta serta peralatan perlombongan berjumlah lebih RM3.65 juta.
“Kita mengambil tempoh tiga bulan untuk melakukan risikan berkenaan aktiviti perlombongan tanah ini,” katanya.
Menurutnya, risikan dijalankan susulan maklumat yang disalurkan orang awam kepada pihak berkuasa.
“Kesemua tangkapan dan barang kes diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 34, Seksyen 23A dan Seksyen 168 Ordinan Tanah Sabah.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12E(3)(a) Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 serta peruntukan berkaitan pelesenan perdagangan dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Nor Omar berkata pihaknya komited meneruskan penguatkuasaan secara konsisten sekiranya menerima maklumat berkaitan kegiatan perlombongan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.
“Pihak Briged Sabah PGA komited dan konsisten untuk terus melakukan operasi-operasi sekiranya mendapat maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti perlombongan tanah yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya di Sabah diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti perlombongan atau pengorekan hasil bumi yang dipercayai melanggar peraturan dan undang-undang.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



