KUALA TERENGGANU: Hujan, laluan licin, pacat, keletihan malah berdepan kepala air dan gajah bukan alasan bagi dua malim gunung wanita dari Hulu Dungun untuk mengalah, sebaliknya ia menjadi asam garam sepanjang menjalankan tugas memastikan keselamatan pendaki.
Bagi Noor Azura Abdul Wahab, 41, dari Kampung Shukor, tugas sebagai malim gunung bukan sekadar menunjukkan laluan atau menemani pendaki menawan puncak tetapi menuntut ketahanan fizikal dan mental selain kecekapan membuat keputusan ketika berdepan situasi tidak dijangka.
Tahun ini genap sedekad Noor Azura bergelar malim gunung di bawah Persatuan Malim Gunung Daerah Dungun, selepas menyertai bidang itu pada 2016.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang cuci di Air Terjun Chemerong namun pada 2016, Jabatan Perhutanan membuka peluang kepada penduduk setempat untuk menjadi malim gunung.
“Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya memang meminati aktiviti lasak dan mendaki, terus mengisi borang untuk menjadi malim gunung,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum bergelar malim gunung, Noor Azura perlu menjalani latihan dan lulus ujian mendaki selama dua hari di Gunung Berembun yang berketinggian 1,108 meter dari aras laut.
Gunung Berembun adalah sebahagian daripada laluan pendakian Chemerong-Berembun-Langsir (CBL), iaitu antara destinasi pendakian popular di Hulu Dungun.
“Selepas lulus ujian itu, saya teruskan tugas sebagai malim gunung dan pengalaman sepanjang 10 tahun ini pastinya tidak dilupakan.
“Antara pengalaman paling mencabar adalah ketika terlibat dalam operasi menyelamat pendaki yang terbabit insiden letupan gas pada 2017,” katanya.
Noor Azura berkata, dalam operasi berkenaan, dia ditugaskan membawa pasukan penyelamat menuju ke Air Terjun Langsir pada lewat petang sebelum mereka tiba di lokasi kira-kira pukul 12 tengah malam.
“Memang mencabar kerana kami bergerak ketika hari semakin gelap dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku sepanjang perjalanan. Sebagai malim gunung, kita perlu sentiasa bersedia dan tahu apa tindakan yang perlu dilakukan jika berlaku kecemasan,” katanya.
SABAR, PROFESIONAL KETIKA BERTUGAS
Anak kelima daripada sembilan beradik itu berkata, sepanjang menjalankan tugas, dia turut berdepan pelbagai ragam pendaki yang memerlukan seorang malim gunung sentiasa tegas, sabar dan profesional.
Katanya, bagi setiap sesi pendakian, dia biasanya membawa antara tujuh hingga 14 pendaki dan bertanggungjawab memastikan semua peserta mematuhi taklimat keselamatan serta arahan sepanjang perjalanan.
“Setakat ini saya tidak pernah berdepan pendaki yang bermasalah. Semuanya baik dan memberikan kerjasama.
“Namun, sebagai malim gunung kita tetap perlu sentiasa berwaspada kerana keadaan di dalam hutan boleh berubah pada bila-bila masa. Tiada beza malim gunung wanita atau lelaki kerana fokus utama adalah keselamatan pendaki,” katanya.
Bagi Noor Azura, kecintaan terhadap aktiviti lasak membuatkannya tidak mahu berhenti setakat menjadi malim gunung apabila berjaya menawan beberapa puncak termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Tahan dan Gunung Binatang di Kedah.
Malah, dia menyimpan impian untuk menawan puncak Gunung Everest suatu hari nanti.
TIGA KALI BERDEPAN KEPALA AIR
Sementara itu, bagi ibu tunggal, Nor Hayati Hamzah, 41, dari Kampung Jongok Batu pengalaman sedekad membawa pendaki mengajarnya bahawa keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan.
Nor Hayati berkata, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai kerani dan operator kilang sebelum memilih kerjaya sebagai malim gunung kerana bidang berkenaan lebih dekat dengan minatnya.
“Saya sendiri tidak percaya sudah 10 tahun menjadi malim gunung dan sekarang anak sulung turut mengikut jejak. Sepanjang tempoh itu, saya pernah berdepan kejadian kepala air sebanyak tiga kali, termasuk pada 2022,” katanya.
Menurutnya, kejadian paling mencemaskan berlaku ketika membawa pendaki ke Air Terjun Berdebu pada 2022.
Katanya, ketika memulakan pendakian kira-kira pukul 11 pagi, keadaan cuaca ketika itu baik namun selepas tiga jam perjalanan, keadaan berubah secara tiba-tiba ketika kumpulan berkenaan menyeberangi sungai.
“Arus air tiba-tiba menjadi deras menyebabkan seorang pendaki terjatuh ketika menyeberangi sungai. Saya sempat merentangkan tali dan menariknya ke darat manakala rakan-rakan yang berada di situ membantu menarik saya keluar.
“Pengalaman itu mengajar saya bahawa apabila berdepan situasi cemas, jangan cepat panik supaya kita dapat berfikir dan bertindak dengan pantas,” katanya.
Nor Hayati turut mempunyai pengalaman terserempak dengan gajah ketika membawa pendaki di dalam hutan.
Katanya, semua pengalaman berkenaan menjadikannya lebih peka terhadap keadaan sekeliling serta perubahan cuaca ketika berada di laluan pendakian.
Berkongsi mengenai CBL, Nor Hayati berkata, keindahan Gunung Berembun mempunyai keistimewaan tersendiri dan menjadi antara sebab dia terus mencintai tugas sebagai malim gunung.
“Setiap gunung ada keistimewaan masing-masing tetapi Gunung Berembun mempunyai keindahan tersendiri. Walaupun sudah berulang kali melalui laluan yang sama, saya tetap tidak jemu kerana setiap pendakian memberi pengalaman berbeza,” katanya.
Sumber : https://www.utusan.com.my/nasional/2026/08/wanita-cekal-jadi-malim-gunung/



