Pernahkah anda melihat ibu bapa yang sentiasa memantau setiap pergerakan anak, menyelesaikan semua masalah mereka atau membuat hampir setiap keputusan bagi pihak anak? Gaya keibubapaan ini dikenali sebagai helicopter parenting, iaitu ibu bapa yang sentiasa “berlegar” di sekeliling anak seperti sebuah helikopter. Istilah ini diperkenalkan sekitar tahun 1969 melalui buku Between Parent and Teenager oleh pakar psikologi, Dr. Haim Ginott, selepas seorang remaja menggambarkan ibu bapanya sebagai sentiasa “berpusing di atas kepala” ke mana sahaja dia pergi. Istilah lain yang digunakan untuk helicopter parenting adalah “lawnmower parenting”, “cosseting parent”, atau “bulldoze parenting”.
Secara umumnya, helicopter parenting lahir daripada niat yang baik, iaitu memastikan anak sentiasa selamat, berjaya dan tidak menghadapi kegagalan. Namun, pemantauan serta campur tangan yang berlebihan boleh menghalang anak daripada belajar menyelesaikan masalah, membuat keputusan sendiri dan membina keyakinan diri. Kajian turut menunjukkan bahawa gaya keibubapaan yang terlalu mengawal boleh dikaitkan dengan tahap kebimbangan yang lebih tinggi, pergantungan kepada ibu bapa serta kesukaran menyesuaikan diri apabila meningkat dewasa.
Ini tidak bermakna ibu bapa perlu melepaskan tanggungjawab sepenuhnya. Sebaliknya, keseimbangan amat penting. Anak-anak memerlukan bimbingan, sokongan dan kasih sayang, tetapi mereka juga perlu diberi peluang untuk mencuba, melakukan kesilapan dan belajar daripada pengalaman. Dengan ruang yang sesuai, mereka dapat membina daya tahan, kemahiran menyelesaikan masalah dan sifat berdikari.
Keibubapaan yang berkesan bukanlah sentiasa menghapuskan setiap halangan di hadapan anak, tetapi membimbing mereka agar mampu menghadapi cabaran kehidupan dengan yakin. Memberi kepercayaan secara berperingkat merupakan salah satu hadiah paling berharga yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka.
Sumber : hellodoktor.com, Wanita Hari Ini (TV3)



