Negara telah digemparkan baru-baru ini dengan berita penahanan juruterbang syarikat penerbangan komersial tempatan kerana menyeludup anggaran 25kg dadah jenis MADMA (ekstasi) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Selain penahanan dan rampasan bahan disyaki dadah tersebut, juruterbang tersebut turut diuji positif 3 jenis dadah ketika dilakukan saringan air kencing ke atasnya selain turut dijumpai 4g dadah dipercayai syabu dalam tas tangannya disyaki untuk kegunaannya sendiri.
Nah, di mana silapnya sehingga perkara ini terjadi ditambah pula pelaku disyaki adalah seorang individu terpilih menerbangkan ratusan orang dalam sesuatu masa dalam sebuah pesawat.
Ternyata nyawa bukan semurah dan semudah lontaran kata-kata dari lidah yang melafaz.
Lantaran itu, sistem saringan keselamatan sedia ada di lapangan terbang perlu dikaji semula dan ditambah baik seiring perkembangan teknologi moden dan kejadian yang berlaku.
Seorang juruterbang, Mohd Ezairol Rezan Zainol tampil melontar idea bernas seperti berikut ;
” pihak berkaitan menambah baik sistem saringan sedia ada termasuk menempatkan petugas bersama Unit Anjing Pengesan (K9) di lapangan terbang.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko objek atau bahan mencurigakan melepasi pemeriksaan keselamatan.
“Unit K9 ini boleh ditugaskan pada sebelum atau selepas bagasi didaftar masuk.
“Perlu ada seorang petugas untuk memantau pengimbas berikutan mesin tidak boleh bezakan antara pil dan ubat yang mencurigakan.
“Selain itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) perlu menempatkan seorang polis setiap kali memuat dan memunggah kargo pesawat seperti mana yang dilakukan di China,” katanya pada Selasa.
Menurutnya, sistem saringan bagasi diwujudkan bagi memastikan keselamatan penerbangan dengan mengesan bahan letupan, senjata atau barangan berbahaya.
“Selain itu, ia membantu mencegah penyeludupan dadah, barangan kontraband dan mata wang yang menyalahi undang-undang.
“Pemeriksaan itu juga memainkan peranan dalam aspek kesihatan dan biosekuriti termasuk mengesan tumbuhan, haiwan atau produk makanan yang dilarang dibawa masuk ke sesebuah negara,”
Selain lontaran idea-idea di atas dari kaca mata seorang juruterbang, pihak keselamatan berkaitan juga sewajarnya menerapkan prinsip ‘no tolerance’ untuk urusan prosedur daftar masuk barang sebelum berlepas kepada sesiapa sahaja yang berurusan baik petugas di kaunter, krew kapal terbang dan juga semestinya penumpang.
Prosedur pemeriksaan perlu mencakupi semua penelitian pergerakan melalui cctv terutamanya bagi individu dari negara berisiko tinggi dan yang menimbulkan syak wasangka dari sudut penampilan, pergerakan dan juga destinasi yang hendak dituju.
Akhir kalam, insiden sebegini sedikit sebanyak mencemarkan imej negara kita dengan negara serantau khasnya dan juga di dunia amnya. Semua pihak yang terlibat wajib berganding bahu lebih erat dan memperkukuh jaringan risikan keselamatan serta menerapkan integriti lebih bertanggungjawab demi agama, bangsa dan negara.
Sumber :
Tempatkan unit K9 terlatih di lapangan terbang – Juruterbang
https://www.sinarharian.com.my/article/790734



