Tiga warga Bangladesh maut, manakala seorang lagi parah selepas dipercayai bergaduh sesama sendiri di rumah di Taman Linggi, di sini petang semalam.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, dalam kejadian jam 4.15 petang semalam, polis turut menahan seorang rakan senegara mereka dipercayai terbabit dalam kejadian. Mangsa yang cedera dirawat di Hospital Rembau.
Polis menerima maklumat awal daripada orang awam berhubung satu kejadian pergaduhan membabitkan beberapa warga Bangladesh di sebuah rumah di Taman Linggi, di sini petang semalam. Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan Polis dari Balai Polis Linggi bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 40-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Siasatan awal membawa kepada penemuan dua lagi mayat di kawasan Ladang Sua Manggis, Linggi. Dalam kejadian ini, tiga lelaki warga Bangladesh disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan, manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Rembau. Siasatan awal mendapati, semua suspek adalah rakan sekerja yang bekerja dan tinggal di kediaman yang sama.
Kejadian dipercayai berlaku di beberapa lokasi dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kronologi sebenar kejadian. Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada hari ini bagi permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
Sumber: Berita Harian



