FKAT PLATFORM PERKENAL KEPELBAGAIAN BUDAYA TAWAU KEPADA DUNIA

ALBUM: Nizam Bergambar Bersama Delegasi Antarabangsa Dan Wakil Semua Etnik Yang Menyertai FKAT.

TAWAU: Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) terus menjadi platform penting memperkenalkan kepelbagaian budaya, seni dan warisan masyarakat Tawau kepada delegasi antarabangsa.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penyertaan delegasi luar negara dalam FKAT membuktikan festival berkenaan semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Katanya, FKAT 2026 yang memasuki edisi ke-11 tahun ini menyaksikan penyertaan empat negara iaitu Kemboja, Uzbekistan, Kazakhstan dan Indonesia, selain kemungkinan penyertaan Sri Lanka pada acara kemuncak.

“Ini menunjukkan usaha mengadakan festival kebudayaan di Tawau semakin tahun semakin menarik minat negara luar untuk datang ke Tawau khususnya bagi memperkenalkan budaya masing-masing.

“Pada masa sama, apabila negara luar datang ke Tawau, mereka juga dapat melihat kepelbagaian budaya yang ada di tempat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri jamuan malam selamat datang atau welcoming dinner sempena FKAT 2026, di sini, malam tadi.

PENGHARGAAN: Nizam (Kiri) Menerima Cenderakenangan Daripada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Merangkap Pengerusi Jawatankuasa FKAT 2026, Mohd Shoffian Mohd Said.

Nizam berkata, kepelbagaian budaya yang terdapat di Tawau membuktikan masyarakat daripada pelbagai latar belakang mampu hidup bersama dalam suasana harmoni, saling menghormati dan bekerjasama.

Menurutnya, keadaan itu menjadi nilai tambah kepada FKAT kerana festival berkenaan bukan sekadar mengetengahkan kebudayaan, malah membawa mesej perpaduan dan keharmonian kepada masyarakat.

“Kita berbilang budaya dan bangsa, namun kita dapat hidup bersama-sama, hormat-menghormati, dalam penuh keharmonian dan sentiasa bekerjasama demi memastikan daerah kita sentiasa berada dalam keadaan aman, sejahtera dan terus membangun,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam berkata, FKAT juga penting dalam memastikan generasi muda tidak melupakan asal-usul serta warisan budaya masing-masing yang menjadi identiti masyarakat.

Beliau berkata, setiap bangsa dan suku mempunyai budaya serta amalan tersendiri yang perlu dipertahankan supaya tidak hilang ditelan zaman.

“Kita ingin melahirkan rasa kecintaan kepada rakyat di Tawau supaya sentiasa ingat asal-usul mereka dan mempertahankan budaya agar tidak hilang ditelan zaman.

“Setiap bangsa, setiap suku dan setiap budaya yang ada di negara kita adalah budaya yang cintakan keamanan, perpaduan dan kasih sayang sesama manusia serta bersama-sama untuk maju ke hadapan,” katanya.

MEMUKAU: Delegasi Kazakhstan Mempersembahkan Persembahan Kebudayaan Yang Memukau Pada Malam Berkenaan.

FKAT 2026 menghimpunkan 32 etnik tempatan selain penyertaan delegasi antarabangsa dari Uzbekistan, Kazakhstan, Kemboja dan Indonesia, dengan Indonesia khususnya dari Nunukan kekal sebagai rakan utama festival.

Festival yang bermula 25 Julai lalu itu bakal mencapai kemuncaknya pada 1 Ogos dengan acara kemuncak dijadual disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Penganjur menyasarkan lebih 50,000 pengunjung hadir sepanjang festival yang bukan sahaja menjadi pentas hiburan, malah mengangkat identiti, warisan dan kepelbagaian budaya Sabah.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …