POLIS SABAH REKOD 13,000 TANGKAPAN, RAMPASAN DADAH RM263.82 JUTA

KENANGAN: Jauteh merakamkan gambar kenangan bersama anggota dan pegawainya semasa Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi Julai 2026 di IPK Sabah.

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah merekodkan lebih 13,000 tangkapan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Kejayaan itu termasuklah rampasan dadah bernilai RM263.82 juta, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini terus terpelihara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pencapaian itu membabitkan operasi yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan JSJ, JSJN dan JSJK merekodkan 13,298 tangkapan hasil ribuan operasi dan serbuan yang dijalankan di seluruh Sabah.

“Bagi JSJ, sebanyak 2,657 operasi dijalankan oleh Cawangan Risikan / Operasi / Rekod Jenayah (D4), Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dan Siasatan Khas (D9) dengan 3,144 tangkapan direkodkan.

“Operasi berkenaan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk perjudian, pelacuran, curi kabel, pecah rumah, samun, ragut, pembunuhan, penyeludupan dan jenayah harta benda,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi Julai 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Jauteh berkata, JSJN pula mencatatkan antara kejayaan terbesar apabila menahan 8,735 individu membabitkan 5,935 warga tempatan dan 2,800 warga asing.

“Seramai 38 suspek ditahan dalam kes rampasan dadah melebihi satu kilogram, terdiri daripada 32 lelaki dan enam wanita.

“Rampasan membabitkan 3,560.93 kilogram syabu, 102.48 kilogram ketamin, 65.60 kilogram pil ekstasi, 7.6 kilogram ganja, 5.59 kilogram Eramin 5, 456.21 gram serbuk ekstasi serta 3.98 liter cecair vape dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM263.82 juta,” katanya.

Beliau berkata, JSJN turut mencatat prestasi pertuduhan sebanyak 89.91 peratus apabila 2,574 daripada 2,863 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah, melepasi sasaran KPI 80 peratus.

Selain itu, katanya, jabatan berkenaan turut merekodkan kadar penyelesaian kes sebanyak 83.52 peratus apabila berjaya menyelesaikan 6,958 daripada 8,331 kertas siasatan, jauh mengatasi KPI 65 peratus.

Sementara itu, Jauteh berkata, JSJK menerima 8,595 laporan polis sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 Julai lalu yang membawa kepada pembukaan 2,018 kertas siasatan.

“Sebanyak 960 serbuan dijalankan dengan 1,419 tangkapan direkodkan, manakala kerugian akibat jenayah komersil di Sabah dianggarkan berjumlah RM79.35 juta.

“Daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 524 kes berjaya dituduh di mahkamah, selain pelbagai program kesedaran awam dipergiat bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap ancaman penipuan dalam talian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JSPT membuka 9,746 kertas siasatan trafik sepanjang enam bulan pertama tahun ini dengan 9,311 daripadanya berjaya diselesaikan.

“Sebanyak 453 Ops Mabuk dilaksanakan dan mengeluarkan 2,878 saman terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

“JSPT turut melaksanakan 411 operasi membabitkan kenderaan perdagangan dengan 18,983 kenderaan diperiksa serta 1,493 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Jauteh berkata, semua pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan seluruh warga PDRM Sabah dalam memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan keberkesanan siasatan, membanteras pelbagai bentuk jenayah dan memastikan keselamatan rakyat serta ketenteraman awam di negeri ini sentiasa berada pada tahap terbaik.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …