12 KONTENA MAKANAN SEJUK BEKU BERNILAI RM3.4 JUTA DIRAMPAS

TINJAUAN: Jamawi (tengah) dan tetamu yang lain mendengar taklimat ringkas semasa tinjauan di Pelabuhan Sepanggar hari ini. 

KOTA KINABALU: Op Ribat Sepanggar 1/2026 berjaya merampas sebanyak 12 kontena makanan sejuk beku yang disyaki diimport dari China dengan anggaran berat keseluruhan 348,000 kilogram bernilai sekitar berjumlah RM3.42 juta.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata, operasi berkenaan membuktikan komitmen kementerian dalam membanteras penyeludupan makanan, khususnya produk yang diragui status halal, daripada memasuki pasaran negeri ini.

Katanya, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) rampasan terbabit adalah hasil kerjasama penguatkuasaan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Menurutnya,  kontena terbabit dipercayai membawa ayam sejuk beku dipercayai dari China tetapi dilabelkan sebagai berasal dari Thailand.

Selain itu jelasnya, kotak pembungkusan makanan sejuk beku berkenaan turut memaparkan logo halal yang menimbulkan keraguan terhadap status sebenar produk berkenaan.

Beliau berkata, maklumat yang diterima menunjukkan kira-kira 30 kontena dengan modus operandi serupa dirampas sejak awal tahun ini.

“Hasil siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati label yang digunakan pada kotak-kotak berkenaan mengelirukan dari segi nama syarikat dan alamat.

“Saya menyeru pihak yang terlibat dalam kegiatan seperti ini supaya menghentikannya serta mematuhi prosedur import yang sah.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada pengimport yang membawa masuk produk yang telah disahkan, dipantau dan mempunyai pensijilan halal yang diiktiraf,” katanya.

Jamawi berkata demikian semasa meninjau Pelabuhan Sepanggar dekat sini hari ini. Tinjauan itu susulan rampasan yang dibuat dalam Op Ribat Sepanggar 1/2026 pada 16 Julai lepas.

Katanya, operasi itu dijalankan di kawasan pemeriksaan Refer 3, Pelabuhan Sepanggar dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua kontena diikrarkan secara tidak selaras.

Menurutnya, kontena berkenaan dengan manifes K4 yang mencatatkan dagangan sebagai ‘vegetable’ atau ‘other food stuff’, sedangkan kandungannya terdiri daripada ayam sejuk beku dan daging babi sejuk beku.

Jamawi berkata,  berdasarkan anggaran semasa, setiap kontena mengandungi kira-kira 29 tan produk dengan nilai antara RM300,000 hingga RM350,000.

“Daripada 12 kontena itu, 11 kontena mengandungi ayam manakala satu lagi dipercayai mengandungi daging babi. Namun, terdapat satu kontena yang masih belum dapat diperiksa sepenuhnya.

“Pihak JKDM sedang berurusan dengan Jabatan Laut serta pihak pelabuhan bagi mendapatkan kebenaran untuk mengeluarkan dan melupuskannya.

“Kita bimbang kandungan sebenar mungkin berbeza daripada yang dinyatakan. Sebab itu pemeriksaan dan siasatan perlu diteruskan,” jelasnya.

Beliau berkata, kes berkenaan melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 128, Seksyen 133(1) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, dan pihaknya menyerahkan kes itu kepada JKDM untuk tindakan lanjut.

Jamawi juga akan mengemukakan laporan berhubung rampasan itu kepada Kabinet Negeri serta memohon mandat bagi menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan kementeriannya, AKPS, JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan berkaitan.

“Jawatankuasa ini penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara bersepadu, termasuk proses pelupusan barang rampasan secara teratur.

“Kita tidak akan mengalah dalam usaha membanteras penyeludupan ayam atau apa juga makanan yang tidak diisytiharkan dengan betul dan boleh menjejaskan keselamatan serta keyakinan pengguna terhadap bekalan makanan halal di Sabah,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Jumain Abdul Ghani dan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr. Connie Joyce Tann.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …