Bandaraya Melaka – Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar yang dianjurkan sempena Festival Sungai Melaka 2026 merekod penyertaan teramai apabila menarik lebih 1,000 penyertaan dari dalam dan luar negeri, sekali gus membuktikan acara itu terus mendapat sambutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, sambutan luar biasa itu turut menyaksikan lebih 2,000 ekor ikan berjaya dipancing sepanjang pertandingan berlangsung di Sungai Melaka.
“Buat julung kalinya kita menerima penyertaan lebih 1,000 orang apabila merekodkan penyertaan seramai 1,123 orang.
“Pastinya hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk menganjurkan pertandingan ini dalam skala lebih besar pada tahun hadapan disambut baik memandangkan ia mampu menjadi salah satu ikon pelancongan Sungai Melaka.
“Uniknya Pertandingan Ikan Air Tawar ini hanya diadakan sempena Festival Sungai Melaka untuk itu kita berharap pada penganjuran akan datang lebih ramai termasuk pengunjung untuk sertainya dengan tawaran hadiah lebih lumayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) Dan Hadiah Pemenang Sempena Festival Sungai Melaka 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Pengkalan Rama, pada Ahad.
Menurut Shaharul Azuar, penganjuran Festival Sungai Melaka 2026 merekodkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung membabitkan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan ‘Tug Of War’, konda kondi dan pembuatan kuih keria.
“Selain pertandingan memancing, kita turut menerima penyertaan amat menggalakkan bagi pertandingan konda kondi apabila merekodkan penyertaan hampir 500 peserta.
“Pertandingan Nuhea Battle of Konda Kondi ini hasil kerjasama dengan sebuah syarikat suplemen kesihatan selain kerjasama ini juga turut membawa pengiktirafan Sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila replika konda kondi terbesar berjaya dihasilkan,” katanya.
Jelas beliau, bertemakan ‘Mulanya Di Sini’, Festival Sungai Melaka 2026 yang berlangsung selama tiga bulan menyediakan kira-kira 30 acara yang berlangsung diketiga-tiga daerah di Melaka.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)



