OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian.
KOTA MARUDU: Lima rumah musnah manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kecil dalam kebakaran di Kampung Talantang, Jalan Damai, awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.19 pagi itu, kebakaran turut memusnahkan empat motosikal.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.43 pagi, kira-kira 15 kilometer dari balai.
“Kebakaran membabitkan lima rumah yang terbakar antara 90 hingga 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah hanya mengalami kerosakan lima peratus.
“Empat motosikal turut musnah sepenuhnya dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba serta sumber air terbuka di parit berhampiran.
“Api berjaya dikawal pada jam 3.17 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.33 pagi.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya sambil menambah punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Operasi membabitkan 12 anggota BBP Kota Marudu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



