KESELAMATAN SUKAN EKSTREM: OTOT KUAT, RISIKO BERKURANG

Aktiviti sukan ekstrem seperti mendaki gunung, berbasikal lasak, motocross, panjat tebing, larian denai, sukan air dan aktiviti lasak lain semakin mendapat sambutan kerana mampu menguji ketahanan fizikal serta meningkatkan kecergasan dan keyakinan diri. Namun begitu, di sebalik keseronokan dan cabaran yang ditawarkan, sukan ekstrem turut mendedahkan peserta kepada risiko kecederaan otot sekiranya aspek keselamatan tidak diberi perhatian sewajarnya.

Kecederaan otot sering berlaku akibat kegagalan melakukan pemanasan badan, penggunaan teknik yang tidak betul, beban fizikal yang berlebihan atau memaksa tubuh melakukan aktiviti melebihi kemampuan. Keadaan ini boleh menyebabkan kekejangan, ketegangan otot, koyakan otot dan kecederaan ligamen yang memerlukan tempoh pemulihan yang panjang serta boleh menjejaskan aktiviti harian.

Bagi mengurangkan risiko kecederaan, setiap peserta disarankan melakukan aktiviti pemanasan badan selama 10 hingga 15 minit sebelum memulakan sukan. Senaman regangan yang betul membantu meningkatkan kelenturan otot, melancarkan aliran darah serta menyediakan tubuh untuk menghadapi pergerakan yang lebih intensif. Selepas aktiviti selesai, penyejukan badan juga penting bagi membantu otot pulih secara berperingkat dan mengurangkan rasa sakit selepas bersukan.

Selain itu, penggunaan peralatan keselamatan yang sesuai seperti kasut, pakaian dan alat pelindung mengikut jenis sukan amat penting bagi mengurangkan tekanan terhadap otot dan sendi. Peserta juga perlu memastikan tahap kecergasan berada pada tahap optimum, mendapatkan rehat yang mencukupi serta mengelakkan daripada terus bersukan sekiranya mengalami keletihan atau kecederaan.

Pengambilan air yang mencukupi sebelum, semasa dan selepas melakukan aktiviti sukan dapat membantu mengelakkan dehidrasi dan kekejangan otot. Di samping itu, amalan pemakanan yang seimbang dengan pengambilan protein, karbohidrat, vitamin dan mineral yang mencukupi turut membantu menguatkan otot serta mempercepatkan proses pemulihan selepas aktiviti lasak.

Sekiranya mengalami kesakitan yang berpanjangan, bengkak, kelemahan otot atau kesukaran menggerakkan anggota badan selepas bersukan hentikan aktiviti serta-merta dan segera dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan. Rawatan awal bukan sahaja dapat mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius malah mempercepatkan proses pemulihan dan mengurangkan risiko komplikasi.

Kesimpulannya, sukan ekstrem mampu memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental apabila dilakukan secara berhemah serta mengutamakan aspek keselamatan. Persediaan fizikal yang rapi, penjagaan otot yang baik, penggunaan peralatan keselamatan yang sesuai dan pematuhan kepada prosedur keselamatan merupakan kunci utama untuk mengurangkan risiko kecederaan. Ingatlah, otot yang kuat bukan sahaja meningkatkan prestasi malah menjadi benteng utama dalam memastikan setiap aktiviti sukan ekstrem dapat dinikmati dengan selamat.

Sumber: https://hellodoktor.com/kecergasan/tips-keselamatan/kecederaan-sukan/

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …