KESELAMATAN DI TEMPAT KERJA: CEGAH KEMALANGAN SEBELUM TERLAMBAT

Keselamatan dan kesihatan pekerja merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan oleh setiap majikan. Setiap pekerja berhak menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat, manakala majikan bertanggungjawab memastikan langkah-langkah pencegahan dilaksanakan bagi mengelakkan kemalangan di tempat kerja.

Di Malaysia, tanggungjawab ini diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] yang mewajibkan majikan mengambil segala langkah yang praktikal bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa menjalankan tugas. Kegagalan mematuhi peruntukan tersebut boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan, pendakwaan serta hukuman denda.

Kemalangan di tempat kerja lazimnya berpunca daripada kegagalan mematuhi prosedur keselamatan serta mengawal risiko dengan berkesan. Sama ada di sektor perkilangan, pembinaan atau sektor lain. Kecuaian dalam aspek keselamatan boleh mengakibatkan kecederaan serius, kehilangan nyawa dan menjejaskan operasi dan imej organisasi.

Sebagai contoh, kecuaian syarikat pengilangan yang dikenakan tindakan undang-undang selepas gagal memasang pengadang keselamatan pada bahagian berputar konveyor rantai sehingga menyebabkan seorang pekerja mengalami hilang upaya kekal akibat kehilangan satu ruas jari telunjuk tangan kiri. Kejadian ini membuktikan bahawa kegagalan mematuhi keperluan keselamatan boleh membawa implikasi yang serius kepada pekerja dan majikan.

Dalam sektor pembinaan pula, terdapat syarikat yang didenda kerana gagal menyediakan laluan kerja yang selamat serta tidak menutup bukaan lantai dengan sempurna sehingga mendedahkan pekerja kepada risiko jatuh dari tempat tinggi. Selain itu, terdapat juga syarikat yang dikenakan tindakan kerana gagal menyediakan akses kerja yang kukuh dan selamat bagi kerja-kerja di kawasan tepi bangunan.

Sehubungan itu, semua pihak perlu menjadikan keselamatan sebagai budaya kerja. Penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE), pemeriksaan berkala, penilaian risiko serta latihan keselamatan yang berterusan hendaklah dilaksanakan secara konsisten. Keselamatan di tempat kerja bukan sekadar memenuhi kehendak undang-undang, tetapi merupakan tanggungjawab bersama dalam melindungi nyawa, kesihatan dan kesejahteraan setiap pekerja.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/06/1576165/tiga-syarikat-didenda-keseluruhan-rm95000-abai-aspek-keselamatan-dan

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …