OPERASI: Salah satu kawasan yang diserbu pihak JIM Sabah semasa operasi berlangsung.
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah mempergiat operasi penguatkuasaan secara serentak di seluruh daerah di negeri ini bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PTI) serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
JIM Sabah dalam satu perkongsian di laman rasmi memaklumkan operasi itu berlangsung selama tiga hari bermula 30 Jun hingga 2 Julai lalu membabitkan 26 operasi penguatkuasaan di pelbagai lokasi strategik di seluruh Sabah.
“Sepanjang tempoh itu, seramai 1,187 individu diperiksa dengan 208 PTI ditangkap dan ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.
“Tangkapan paling ramai membabitkan warga Filipina dengan keseluruhan 164 orang dan daripada jumlah itu, 53 ialah lelaki dewasa, 72 perempuan dewasa, 21 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan.
“Selain itu, seramai 30 warga Indonesia turut ditahan, terdiri daripada 15 lelaki dewasa dan 15 perempuan dewasa,” katanya.
Menurutnya, operasi sama turut membawa kepada penahanan lima lelaki warga Pakistan, enam lelaki warga China serta tiga lelaki warga India.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
“Tindakan berkenaan juga bertujuan membanteras kehadiran PTI dan penyalahgunaan kemudahan imigresen di negeri ini.
“JIM Sabah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara,” katanya.
Katanya, irang awam juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PTI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu usaha penguatkuasaan.
JIM Sabah menegaskan kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



