JKDM TUMPASKAN SINDIKET DADAH ANTARABANGSA LIBATKAN RAMPASAN LEBIH RM300 JUTA

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi lima kes berasingan membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 4.83 tan dianggarkan bernilai RM300.7 juta bagi tempoh April hingga Jun lepas.

Menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad, rampasan terbesar membabitkan heroin seberat 3,396.6-kilogram (kg) bernilai RM169.83 juta yang ditemukan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 15 Jun lepas.

Siasatan mendapati dadah berkenaan disembunyikan dalam 18,870 kotak minuman mengandungi cecair disyaki heroin. Kargo itu dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Barat secara transit sebelum dihantar ke Australia sebagai destinasi akhir. Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan membuat pengikraran secara palsu sebagai makanan campuran, sabun, detergen, gel rambut dan span bagi mengaburi pihak berkuasa.

JKDM turut merampas 161.39 kg cannabis bud bernilai RM12.91 juta daripada 11 kotak dagangan mengandungi 269 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah terbabit menerusi pemeriksaan di sebuah syarikat logistik di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 18 Mei lepas. Susulan itu dua individu warga tempatan berumur 20 dan 30-an yang merupakan ejen perkapalan ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tiga lagi kes rampasan melibatkan pelbagai jenis dadah dan racun psikotropik keseluruhan seberat 6.11 kg bernilai RM978,778, methylenedioxy methamphetamine (220.3 kg) bernilai RM33.05 juta serta cannabis bud (1,049.5 kg) bernilai RM83.96 juta di pelbagai lokasi termasuk KLIA dan Pelabuhan Klang. Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kejayaan terbesar setakat ini membuktikan komitmen berterusan JKDM dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah yang menjadikan Malaysia sebagai laluan transit.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …