MELAKA MILIKI 29 TAPAK WARISAN GEOLOGI

Telok Mas – Sebanyak 29 tapak warisan geologi yang dikenal pasti di seluruh negeri ini bakal menjadi produk pelancongan baharu Melaka, sekali gus memperkukuhkan lagi kepelbagaian tarikan yang ditawarkan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kesemua lokasi berkenaan melibatkan kawasan yang mempunyai nilai geologi, warisan semula jadi dan sejarah yang unik serta berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Menurut beliau, usaha itu seterusnya menjurus ke arah pengiktirafan Melaka menuju status Geopark Kebangsaan menjelang tahun depan selepas perkara itu dibentang dan dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah memberikan persetujuan dan kini proses seterusnya adalah mendapatkan kelulusan di peringkat Persekutuan bagi membolehkan Melaka diiktiraf sebagai negeri geopark.

“Ini merupakan satu langkah penting kerana ia bukan sahaja memperkukuhkan agenda pemuliharaan warisan geologi negeri, malah membuka ruang ekonomi baharu menerusi sektor pelancongan,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.

Menurut Abdul Razak, kesemua 29 tapak warisan yang disenaraikan tidak hanya tertumpu di satu daerah sahaja, sebaliknya ia membabitkan kesemua tiga daerah dalam negeri ini yang mempunyai keunikan geologi dan khazanah alam tersendiri.

29 tapak warisan geologi di Negeri Melaka.

Jelas beliau, antara lokasi yang mempunyai potensi besar ialah Bukit Larang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang menyimpan khazanah geologi termasuk formasi batuan unik yang mempunyai nilai saintifik dan warisan tinggi.

Katanya, kewujudan tapak-tapak berkenaan mampu menarik minat golongan pencinta alam, penyelidik, pelajar serta komuniti geopelancongan dari dalam dan luar negara.

“Geopark mempunyai kelompok pengikut dan peminatnya yang tersendiri. Di seluruh dunia, pelancongan berasaskan geologi semakin mendapat perhatian kerana ia menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Sebab itu kita melihat geopark sebagai satu lagi segmen pelancongan baharu yang boleh diketengahkan oleh Melaka,” ujarnya.

Tambah beliau, pembangunan geopark bakal melengkapkan ekosistem pelancongan Melaka yang sebelum ini lebih dikenali menerusi produk pelancongan sejarah, budaya, warisan dan rekreasi.

Katanya, pengiktirafan sebagai negeri geopark juga dijangka meningkatkan nilai tambah kepada industri pelancongan negeri serta memperluaskan tempoh kunjungan pelancong ke Melaka.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …