“Dia Nampak sihat. Cuma kuat berdengkur.”
Ayat ini kedengaran biasa, tetapi kadang-kadang di situlah amaran yang paling awal. Bila berlaku kemalangan mengantuk atau kematian mengejut ketika tidur, kita selalu fikir tentang jalan, kendengaran, tekanan kerja atau serangan jantung. Tetapi ada satu perkara yang ramai masih pandang ringan.
Obstructive Sleep Apnea (OSA) bukan sekadar berdengkur kuat. Dalam OSA, saluran pernfasan boleh tersumbat berulang kali ketika tidur. Nafas berhenti seketika, oksigen jatuh, otak terjaga tanpa kita sedar, kemudian tidur bersambung semula. Malam nampak seperti tidur. Tetapi badan sebenarnya sedang bertarung. Sebab itu ada orang tidur lama, tetapi bangun tidur letih. Ada yang mudah mengantuk waktu memandu. Ada yang tertidur depan TV, dalam mesyuarat, atau ketika menunggu lampu merah. Ada juga yang sudah ada darah tinggi, sakit kepala waktu pagi, cepat marah, susah fokus, tetapi tidak pernah mangaitkannya dengan tidur.
Yang lebih membimbangkannya, OSA bukan hanya berlaku kepada orang yang sangat obes. Memang berat badan berlebihan meningkatkan risiko, tetapi orang yang “gemuk sikit”, berleher besar, rahang kecil, tonsil besar, hidung tersumbat kronik atau struktur saluran nafas sempit juga boleh mengalaminya. Jangan tunggu sampai hampir terlelap ketika memandu. Jangan tunggu sampai tekanan darah makin susah dikawal.
Jika anda berdengkur kuat, sering tersedak ketika tidur, pasangan pernah Nampak anda berhenti bernafas, bangun pagi dengan sakit kepala atau mengantuk teruk pada siang hari, itu bukan sekadar penat kerja. Itu tanda yang patut disaring.
OSA boleh dirawat. Pemeriksaan boleh dibuat. Rawatan seperti perubahan gaya hidup, alat bantuan pernafasan waktu tidur dan rawatan ENT tertentu boleh membantu mengurangkan risiko. Kadang-kadang, menyelamatkan nyawa bukan bermula dengan ubat yang besar. Ia bermula dengan satu soalan kecil:
“Tidur saya sebenarnya berkualiti ke?”
Sumber: Publichealthmalaysia



