13 RUMAH SETINGGAN HARAM DI ALAMESRA DIROBOHKAN

ROBOH: Pasukan penguat kuasa merobohkan sebuah rumah setinggan haram dalam operasi bersepadu di belakang Alamesra, Likas.

KOTA KINABALU: Sebanyak 13 rumah setinggan haram di kawasan belakang Alamesra, Likas dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), pada 19 Jun lalu.

Operasi yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu dijalankan bagi membanteras pencerobohan tanah kerajaan, pembinaan struktur haram serta pertumbuhan penempatan setinggan yang tidak terkawal di kawasan berkenaan.

DBKK dalam kenyataan semalam berkata, tindakan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan rumah setinggan yang sudah dirobohkan di lokasi berkenaan setakat ini sebanyak 38 struktur.

Katanya, kawasan setinggan di belakang Alamesra dikenal pasti sebagai antara lokasi pencerobohan yang berkembang secara tidak terkawal di atas tanah rizab hutan bakau dan kawasan pesisir sungai.

“Keadaan ini menimbulkan pelbagai risiko termasuk aspek keselamatan, kesihatan awam, pencemaran alam sekitar serta ancaman terhadap ekosistem bakau yang menjadi aset semula jadi penting bandar raya ini.

“Hasil bancian yang dijalankan mendapati sebanyak 101 rumah dibina di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas, manakala 150 struktur setinggan dikenal pasti di kawasan bakau belakang Alamesra,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBKK, sebahagian besar penghuni di kawasan setinggan itu adalah bukan warganegara.

“Notis pengosongan, pengalihan dan perobohan telah diserahkan kepada penghuni terbabit pada 13 April lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

“Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU),” katanya.

DBKK berkata, sebanyak 112 lagi struktur setinggan telah dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan pada fasa seterusnya.

Menurutnya, tindakan itu bukan sekadar operasi perobohan, sebaliknya langkah strategik bagi memastikan tanah kerajaan tidak terus diceroboh, memelihara kawasan rizab alam sekitar serta mengurangkan risiko kebakaran dan jenayah.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang membina, menduduki atau melindungi struktur haram di atas tanah kerajaan.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan bandar raya dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …