PUPUK AMALAN PEMAKANAN SIHAT SEJAK KANAK-KANAK ELAK OBESITI – JULITA

PENGHARGAAN: Julita (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil salah satu gerai pameran.

PENAMPANG: Amalan pemakanan sihat perlu dipupuk sejak usia kanak-kanak bagi membendung peningkatan kadar obesiti dan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.

Beliau berkata, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2024, seramai 13.6 peratus kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 19 tahun tergolong dalam kumpulan obes, manakala 23.1 peratus golongan dewasa turut mengalami masalah sama.

Katanya, statistik berkenaan menunjukkan keperluan mendesak untuk membentuk tabiat pemakanan sihat sejak usia muda melalui peranan ibu bapa, guru dan masyarakat.

“Amalan pemakanan sihat perlu dipupuk sejak prasekolah agar ia menjadi budaya apabila dewasa kelak. Tabiat dan disiplin pemakanan yang baik perlu bermula dari rumah kerana keluarga merupakan institusi pertama yang membentuk gaya hidup dan tingkah laku anak-anak,” katanya

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di ITCC, di sini, semalam.

Beliau turut menegaskan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi perlu ditangani melalui pendekatan pencegahan, termasuk pendidikan pemakanan dan kesedaran kesihatan awam.

Menurutnya, antara langkah mudah yang boleh diamalkan ialah memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, meningkatkan pengambilan susu serta produk tenusu bersesuaian, selain mengurangkan gula, garam dan lemak.

“Perubahan kecil dalam pilihan makanan harian mampu memberi kesan besar kepada kesihatan jangka panjang.

“Kita perlu membudayakan pemakanan seimbang dan sihat dalam keluarga supaya anak-anak dapat membesar dengan lebih sihat, kuat dan aktif,” katanya.

Beliau dalam masa sama menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih aktif serta menjadi contoh kepada generasi muda dalam mempromosikan amalan hidup sihat.

“Kesihatan adalah tanggungjawab bersama. Setiap daripada kita mempunyai peranan untuk membuat pilihan yang lebih sihat demi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr William Gotulis dan wakil Timbalan Pengarah JKNS (Kesihatan Awam), Dr Abdul Marsudi Manah.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

OPERASI BERSEPADU ESSCOM BELURAN CATAT RM407,644.69 NILAI KOMPAUN, RAMPASAN

OPERASI: Salah satu siri pemeriksaan yang dilaksanakan sepanjang Operasi Bersepadu ESSCOM Beluran. BELURAN: Operasi Bersepadu Daerah Beluran yang dilaksanakan Eastern …

TRAGEDI DI JALAN RAYA: KESEDARAN MENGHORMATI GARISAN BERKEMBAR

Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang gemar memotong kenderaan di garisan berkembar merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan maut. Tindakan …

BAHAYA KENDERAAN LEBIH MUATAN: PATUHI HAD DEMI KESELAMATAN JALAN RAYA

Isu kenderaan membawa lebih muatan (overloading) kini menjadi fokus utama penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana risiko impak negatifnya terhadap …